Tuesday, 23 October 2012

Kekeliruan Dalam Penggunaan Ia



            Saya perhatikan bahawa masih ramai yang keliru dengan penggunaan ia. Dari zaman persekolahan sehinggalah ke zaman universiti kekeliruan ini masih membelengu fikiran. Pada pemerhatian saya, kekeliruan ini timbul antara penggunaan ia ini merujuk kepada benda ataupun khusus kepada manusia. Pada entri kali ini, terlintas di benak fikiran untuk meleraikan kekeliruan ini. Jadi, saya telah membuat beberapa rujukan bagi mencari maklumat.

Menurut Awang Sariyan melalui artikelnya pada halaman 366 buku Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia (DBP:1987), beliau menegaskan bahawa bahasa Malaysia (bahasa Melayu) tidak mengenali kata ganti untuk selain manusia, kecuali dalam dongeng binatang. Malahan, penggunaan kata ganti diri untuk benda, binatang atau konsep bertentangan dengan nilai sosiobudaya Melayu. Menurut Awang Sariyan dalam artikelnya itu, Asraf juga tidak bersetuju dengan penggunaan ia untuk bukan manusia. Bagi Asraf, perkataan itu sengaja dipadankan daripada bahasa Inggeris, it, oleh pihak yang tertentu yang kononnya untuk mengelakkan kekaburan makna dan pengulangan kata nama yang menyebabkan bahasa menjadi tidak ekonomis. Menurutnya, ia untuk bukan manusia boleh dianggap bentuk palsu yang mencemarkan bahasa Melayu.

Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (DBP: 1995) turut menegaskan bahawa kata ganti nama diri adalah untuk menggantikan diri orang. Oleh itu, perkataan-perkataan tersebut tidak sesuai digunakan untuk bukan orang, sama ada untuk benda, haiwan, atau konsep. Demikian juga halnya Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir (Edisi Baru) (DBP:1986) pada halaman 82 dengan jelas menyatakan, "...kata ia sekarang adalah kata lain untuk dia.". Ini bermakna kedua-duanya tidak berbeza dari segi maksud dan fungsinya.

Kesimpulannya, kata ia hanyalah digunakan bagi merujuk kepada manusia sahaja. Sekiranya kita ingin merujuk kata ganti selain manusia misalnya untuk benda ataupun binatang, kita hendaklah mengulangi perkataan tersebut. Contoh :

                   Burung-burung itu bertebangan. Ia pulang ke sarang (Salah)
                   Burung-burung itu bertebangan. Burung-burung pulang ke sarang. (Betul)

            Diharapkan dengan perkongsian ringkas saya ini dapat merungkai kekeliruan kita semua. Sekian, terima kasih.

Friday, 19 October 2012

Kurangkan Kelajuan



Ketika saya mencatatkan idea untuk entri blog pada kali ini, saya sedang berada dalam perjalanan untuk pergi ke stesen bas Tanjong Malim. Tujuan saya ke sana adalah untuk membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti raya haji pada minggu hadapan. Semasa perjalanan untuk menuju ke stesen bas tersebut, saya terlihat satu papan tanda yang bertulis “Kurangkan Laju”. Terlintas di benak fikiran saya bahawa seperti ada sesuatu kesalahan yang terdapat pada perkataan di papan tanda tersebut.

Sepanjang perjalanan itu, otak saya ligat berfikir tentang sama ada perkataan yang digunakan pada papan tanda tersebut mengandungi kesalahan ataupun tidak. Setelah tiba di rumah, saya terus  memikirkan tentang ayat yang tertulis di papan tanda itu tadi iaitu “Kurangkan Laju” dan memang benarlah telahan saya bahawa terdapat kesalahan pada ayat tersebut. Pada pendapat saya, terdapat kesalahan bahasa dalam perkataan di atas. Perkataan ‘kurangkan’ haruslah diikuti oleh kata nama terbitan ‘kelajuan’ bukannya kata sifat ‘laju’.


Kata Majmuk


         Pada hari ini, saya telah mendapat satu mesej daripada rakan sekuliah yang mengatakan bahawa kelas pada pagi ini batal kerana pensyarah mempunyai urusan di luar. Jadi, setelah bangun untuk membersihkan diri dan mengerjakan solat subuh, saya tidak menyambung tidur semula. Niat di hati ingin mencari sedikit maklumat di internet untuk menyiapkan tugasan. Saya menghidupkan komputer riba saya dan mencari maklumat-maklumat yang berkaitan. Setelah mendapat sedikit maklumat yang dicari, saya melayari pula beberapa blog dan akaun Facebook bagi mengetahui perkembangan semasa. Semasa berada di halaman utama Facebook tersebut, saya telah dipaparkan dengan satu status yang baru sahaja dikemaskini oleh salah seorang daripada rakan Facebook saya.





      Berdasarkan pemerhatian saya, salah satu daripada perkataan tersebut telah menyalahi hukum tatabahasa Melayu iaitu rumahtangga. Kesalahan tersebut ialah dua perkataan yang sepatutnya dieja secara terpisah tetapi dicamtumkan menjadi satu perkataan. Kesalahan ini merupakan kesalahan dari bentuk kata majmuk yang belum mantap.


        Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, rumah tangga ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan dengan unsur lain seperti ‘yang’. Jadi, rumah rumah tangga perlulah dieja secara terpisah antara dua kata dasar tersebut dan bukannya ditulis sebagai rumahtangga. Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan.


                        Contoh : Setiausaha, beritahu, kakitangan, matahari

Kebetulan pada hari yang sama saya turut menemui perkataan yang sepatutnya dieja secara terpisah tetapi dicantumkan iaitu perkataan semulajadi yang terdapat pada kotak minuman jenama Dutchlady.



     Kesimpulannya, rumah tangga dan semula jadi merupakan kata majmuk tetapi perlu dieja secara terpisah kerana penggunaannya tidak dianggap sebagai satu perkataan kata majmuk yang mantap.
  

Thursday, 18 October 2012

Amalan Murni, Budaya Kita




Pada entri kali ini, saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya bertemu dengan seorang kakitangan wanita yang tidak bersifat mesra pelanggan. Kejadian ini berlaku apabila saya dan beberapa orang rakan yang lain ingin mengambil sijil dekan di fakulti. Setelah tiba di fakulti tersebut, kami pun  terus menuju ke sebuah bilik yang telah ditempatkan untuk mengambil sijil itu. Salah seorang daripada kami memberikan salam sambil mengetuk pintu bilik itu buat beberapa kali dan kami pun masuk ke dalam bilik tersebut. Di dalam bilik tersebut, saya memerhatikan bahawa hanya terdapat seorang sahaja kakitangan manakala seorang lagi yang ditugaskan untuk memberikan sijil itu kepada kami tidak berada di tempatnya. Namun, perkara yang menyedihkan kami apabila seorang kakitangan yang berada di dalam bilik tersebut, tanpa memanggungkan kepalanya melihat kami, tanpa secalit senyuman pun di wajahnya itu  telah menyuruh kami menunggu di luar. Dengan intonasi suaranya dan lagaknya yang sombong itu telah membuatkan kami berasa agak berkecil hati. Setelah itu, kami pun terus keluar dengan hati yang sebal. Rupa-rupanya, bukan kami sahaja yang telah mendapat layanan sebegini. Kami turut mendengar aduan daripada rakan-rakan yang turut menerima nasib yang sama.


Pada pendapat saya, kita sebagai sesama manusia malahan sesama agama juga kita haruslah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Antara nilai murni yang dapat diamalkan ialah bersopan-santun, hormat-menghormati, bantu-membantu dan sebagainya. Dalam konteks ini, kakitangan tersebut tidak wajar mempamerkan ekspresi muka yang kurang menyenangkan serta tidak ada perhubungan dua mata ataupun eye contact ketika bercakap dengan orang lain.  Ini merupakan antara adab ketika kita berkomunikasi. Lebih baik sekiranya kita memaniskan muka dan menggunakan intonasi suara yang sesuai semasa melakukan perbualan. Selain itu, kakitangan tersebut perlulah lebih bersifat mesra di samping menunjukkan sikap yang dapat dijadikan contoh kepada para pelajar.  Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan amalan murni sebagai budaya dalam kehidupan.



Zon Senyap




Pada hari ini, saya telah pergi ke Perpustakaan Tuanku Bainun untuk mencari bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. Semasa berada di sana, saya terus menggunakan perkhidmatan perisian komputer yang telah disetkan bagi kemudahan para pelajar untuk mencari buku yang dikehendaki. Setelah mendapat kod-kod lokasi buku yang ingin dicari, saya pun terus ke rak-rak buku tersebut bagi mendapatkan buku yang dikehendaki. Kemudian, saya mencari tempat duduk untuk menelaah buku-buku tersebut. Berhampiran dengan tempat yang saya duduk, terdapat sekumpulan pelajar sedang membuat perbincangan. Konsentrasi saya agak terganggu apabila berada dalam keadaan yang agak bising dengan celoteh dan gelak ketawa daripada mereka. Mereka seolah-olah tidak memahami peraturan ketika berada di perpustakaan.


Pada pendapat saya, sebagai seorang mahasiswa mahupun mahasiswi dan juga masyarakat lain, kita sepatutnya sudah faham tentang adab dan etika ketika berada di perpustakaan. Kita haruslah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu tidak membuat bising ketika berada di perpustakaan. Tambahan pula, saya merasakan bahawa perbincangan secara berkumpulan adalah tidak sesuai diadakan di dalam perpustakaan. Hal ini demikian kerana, perbincangan itu mungkin akan mewujudkan suasana yang bising dan seterusnya mengganggu privasi orang lain. Sekiranya ingin melakukan perbincangan, adalah lebih baik diadakan dengan menggunakan bilik yang telah disediakan oleh pihak perpustakaan untuk tujuan tersebut.

Melatah





Pada waktu ini, saya baru sahaja pulang daripada latihan drama yang saya perlu hadiri pada setiap malam isnin, khamis dan jumaat. Latihan ini diadakan di Bangunan E- Learning. Saya ditugaskan untuk menjaga bahagian penata cahaya untuk pementasan drama itu nanti. Ketika saya dan rakan-rakan lain diberikan masa rehat untuk beberapa minit, saya terdengar suara salah seorang daripada kami berkata “Opocot, mak kau !” dan terdengar beberapa orang pelajar lain ketawa. Rupa-rupanya, dia sedang melatah akibat terkejut. Pada pemerhatian saya, rakan saya itu terkejut dan secara spontan apa-apa saja yang terlintas di fikiran akan terkeluar dari mulut tanpa disedari. Saya sering melihat orang yang mempunyai tabiat sebegini.
Pada pendapat saya, sifat melatah ini seolah-olah sudah menjadi satu amalan atau budaya dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam kalangan wanita. Kebanyakan orang yang mempunyai tabiat melatah ini adalah bermula apabila mereka mula meniru aksi latah itu dan lama-kelamaan tabiat itu sudah menjadi sebati dalam diri mereka. Sifat masyarakat lain yang sering mengusik seseorang yang mempunyai tabiat ini turut menyumbang kepada sifat latah yang lebih serius. Orang yang mempunyai sifat latah akan mengeluarkan kata-kata secara spontan apabila mereka terkejut dan adakalanya kata-kata yang dikeluarkan amatlah tidak sesuai untuk didengar. Adakalanya, mereka mengeluarkan kata-kata tersebut yang turut diikuti dengan gaya.

Tingkah laku melatah bukanlah satu perbuatan yang dibuat-buat, sebaliknya, perbuatan ini berlaku spontan kerana sudah tertanam dalam diri individu berkenaan. Namun, sekiranya pada permulaan seseorang itu melakukannya secara berulang kali, lama-kelamaan perbuatan tersebut akan menjadi satu kebiasaan iaitu tingkah laku yang akan dilakukan secara berulangan. Hal ini bermakna, melatah merupakan satu situasi yang sukar untuk ditinggalkan apabila tingkah laku baru (perkara yang menjadi kebiasaan) mengambil tingkah laku lama dan perkara itu akan dilakukan berulangan.

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu sudah mempunyai sifat sebegini, elok kiranya mengeluarkan kata-kata yang lebih baik dan cuba sedaya-upaya menghindarkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Masyarakat lain pula janganlah kita sering mengusik, mengenakan mereka yang mempunyai tabiat latah ini. Hal ini demikian kerana, hasil daripada usikan kita mungkin akan memalukan mereka di hadapan orang lain dan seterusnya diketawakan. Usikan demi usikan yang akan membuatkan mereka terkejut dan melatah juga akan mengakibatkan mereka ini akan mengalami kesukaran untuk membuang tabiat ini dalam diri mereka nanti.


Saturday, 13 October 2012

Aduhai, Si Penagih Simpati !




Assalammualaikum.

            Alhamdulillah, pada kali ini saya hendak berkongsi tentang satu fenomena di dalam negara kita. Pada setiap hari sabtu, saya akan berkunjung ke pasar malam Tanjong Malim untuk membeli sedikit barang basah dan makanan. Acapkali saya ke sana, saya sering melihat fenomena peminta sedekah yang menagih simpati daripada orang ramai untuk menghulurkan wang kepada mereka. Bukan seorang atau dua orang sahaja, malah ramai peminta sedekah yang menjalankan kegiatan mereka di situ. Ada yang terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa, orang tua, kaum lelaki mahupun kaum wanita. Terdapat dalam  kalangan mereka yang menghadapi kecacatan pada tubuh fikizal namun terdapat juga yang  mempunyai tubuh badan yang lengkap tetapi masih menjadi peminta sedekah. Saya pun tidak pasti dengan segelintir manusia ini yang masih mempunyai tubuh badan yang sihat tetapi masih mengharapkan bantuan daripada orang ramai. Adakah mereka ini dapat dikategorikan sebagai manusia yang malas untuk berusaha dan bekerja? Saya pun tidak pasti. Mungkin juga mereka ada alasan mereka yang tersendiri yang tidak kita tahu. Setiap kali saya melihat kanak-kanak ataupun golongan orang tua yang meminta simpati daripada orang ramai, terbit rasa kasihan di hati ini. Banyak persoalan yang timbul di benak fikiran. Adakah nasib mereka akan berterusan begini sepanjang hidup mereka? Pada peringkat umur kanak-kanak ini, mereka sepatutnya hidup dalam suasana yang normal, yang dibelikan pelbagai alat permainan, yang diberikan kasih sayang, pendidikan dan sebagainya. Golongan tua pula merupakan waktu untuk mereka berehat di rumah dan melengkapkan diri dengan beribadah. Namun, fenomena yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka terpaksa duduk dan tidur di tepi-tepi jalan dan hanya mengharapkan simpati daripada orang ramai sahaja.



             Pada pandangan saya, fenomena peminta sedekah ini semakin menjadi-jadi di negara kita. Pelbagai pihak haruslah bersama-sama menggembleng tenaga dalam memainkan peranan untuk menangani isu ini. Sebagai masyarakat dalam negara yang mementingkan nilai-nilai murni, kita janganlah memandang hina kepada mereka. Bersama-samalah kita bermuhasabah diri kita sendiri.  Bantulah semampu yang boleh agar kita dapat mengurangkan penderitaan golongan yang kurang bernasib baik ini. Pihak kerajaan haruslah memandang dengan lebih serius serta mencari jalan penyelesaian agar golongan ini dapat dihapuskan pada kadar sifar.