Saturday, 13 October 2012

Terima Kasih...


Assalammualaikum dan selamat petang.

           Pada kali ini saya ingin menceritakan tentang budaya berterima kasih. Pada hari ini, saya dan seorang rakan karib telah pergi ke KFC bagi menyambut hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-22 tahun. Setibanya di sana, kami beratur untuk membuat pesanan makanan di kaunter. Pada pemerhatian saya, layanan yang telah diberikan oleh pihak KFC yang bertugas pada hari itu adalah amat baik. Mereka memberikan layanan yang sangat baik dengan sentiasa memaniskan muka sewaktu melayan setiap pelanggan yang datang. Setelah mereka siap menyediakan menu yang telah dipesan dan pelanggan membuat pembayaran, mereka  mengucapkan terima kasih. Mereka mengucapkan terima kasih kepada setiap pelanggan yang telah menerima perkhidmatan daripada mereka. Terdapat juga pelanggan yang turut mengucapkan ucapan terima kasih setelah menerima layanan daripada pihak KFC tersebut.

         Pada pandangan saya, budaya mengucapkan terima kasih ini adalah perlu dalam kehidupan kita. Dalam situasi ini, pihak pelanggan akan berasa dihargai. Di samping itu, dengan mengucapkan terima kasih juga akan dapat mewujudkan hubungan yang baik antara pihak penjual dan pembeli. Dengan layanan yang baik juga, pelanggan mungkin tidak akan serik untuk kembali berkunjung ke sana lagi. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membudayakan diri dengan sentiasa memberikan ucapan terima kasih dalam pelbagai situasi dalam kehidupan kita. 


Wednesday, 10 October 2012

Dari atau Daripada ?


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

                Pada hari rabu yang lalu, 9/10/2012, saya dan beberapa orang rakan telah mendapat peluang untuk ke RTM yang terletak di Kuala Lumpur. Kami pergi dengan menaiki sebuah bas. Bertolak pada pukul 10.30 pagi dan kami tiba di sana pada pukul 12 tengah hari. Setibanya di sana, kami diberikan masa untuk berehat dan seterusnya menunaikan solat Zohor dan makan tengah hari. Setelah itu, kami dibawa ke dalam studio untuk satu sesi rakaman bagi program Generasi Y yang akan disiarkan pada setiap hari sabtu, pada pukul 2 petang di TV 1.

              Semasa berlangsungnya sesi rakaman di studio tersebut, terdapat satu slot yang memerlukan beberapa orang pelajar untuk menanyakan tiga soalan kepada pihak panel. Semasa salah seorang pelajar itu memperkenalkan dirinya kepada pihak panel, saya dapat mengenal pasti bahawa pelajar tersebut telah menggunakan kata sendi nama yang salah sewaktu memperkenalkan dirinya. Berikut merupakan kata-kata pelajar tersebut sewaktu memperkenalkan dirinya kepada pihak panel :

                     “Assalammualaikum, nama saya Si A, saya berasal daripada Johor.”

           Berdasarkan dialog di atas, saya telah mengenal pasti bahawa Si A telah melakukan kesalahan dalam penggunaan kata sendi nama daripada. Kata sendi nama daripada sepatutnya boleh hadir di hadapan frasa nama yang menyatakan punca ataupun perbezaan. Jadi, penggunaan kata sendi nama daripada tidak boleh digunakan sekiranya menyatakan tempat. Berdasarkan ayat tersebut, penggunaan kata sendi nama yang sepatutnya digunakan oleh Si A sewaktu memberitahu negeri asalnya ialah menggunakan kata sendi nama dari kerana kata sendi ini digunakan untuk menyatakan tempat, arah mahupun waktu.

Saya sering terdengar kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahasa dengan penggunaan antara kedua-dua kata sendi nama ini iaitu antara dari dan daripada. Kesalahan ini sering berlaku dalam kalangan kita. Jadi, kita sebagai pengguna bahasa haruslah peka terhadap penggunaan kata sendi nama yang betul dan tepat. Kita haruslah  sentiasa melakukan rujukan dari semasa ke semasa agar kita tidak terus terbelengu dengan kekeliruan ini dan seterusnya dapat mempraktikkan bahasa yang betul dalam kehidupan.




Gambar kenangan di studio rakaman untuk slot program Generasi Y


Hukum D-M


Goreng pisang atau pisang goreng ? Keliru ?



Assalammualaikum dan salam sejahtera…

      Ketika saya menulis blog ini, saya sedang berada di dalam bilik kuliah untuk mengikuti sesi pembelajaran. Saya mengambil kesempatan masa yang ada dengan mencari idea untuk menulis entri blog saya memandangkan pensyarah masih belum lagi masuk ke dalam kelas. Alhamdulillah, ketika ligat memikirkan idea, tiba-tiba saya terimbas kembali semasa saya hendak membeli kuih untuk sarapan sebelum ke kuliah pagi tadi. Ketika saya hendak membeli kuih yang dijual di gerai berhadapan dengan kampus, terdapat seorang mak cik yang menjual kuih-muih dan antaranya terdapat satu makanan kegemaran saya iaitu pisang goreng. Berikut merupakan dialog antara saya dan penjual kuih tersebut:

                                   Saya      : “Mak cik, goreng pisang ni seringgit berapa?”
                                   Penjual  : “Tiga biji seringgit, dik.”

         Dalam dialog tersebut, saya tidak sedar bahawa saya telah menggunakan kesalahan hukum D-M dalam bahasa Melayu iaitu yang diterangkan mendahului yang menerangkan. Hal ini mungkin kerana saya sudah terbiasa menggunakan perkataan tersebut. Dari segi makna, antara pisang goreng dan goreng pisang, kedua-dua ini mempunyai maksud yang berbeza. Pisang goreng membawa maksud pisang yang telah sedia siap digoreng manakala goreng pisang pula ialah ketika pisang itu digoreng. Jadi, kedua-dua perkataan ini telah membawa maksud yang berbeza. Oleh itu, pada masa yang seterusnya saya haruslah peka dengan penggunaan perkataan ini agar menepati hukum yang telah ditetapkan dalam bahasa Melayu.

Sunday, 7 October 2012

Pepatah, Warisan Melayu Kita


Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Pada waktu ini, saya baru sahaja pulang ke rumah setelah tamat waktu kuliah lebih kurang pada pukul 5.30 petang. Setelah selesai membersihkan diri dan menunaikan solat asar, saya telah menghidupkan komputer riba saya dan melayari akaun Facebook bagi mengikuti perkembangan semasa dan mencari sedikit maklumat mengenai tugasan. Semasa sedang asyik melayari laman utama Facebook, saya terpandang akan satu artikel yang berunsur jenaka yang berkaitan juga dengan pepatah-pepatah Melayu. Artikel itu telah dikongsi oleh beberapa kenalan Facebook saya pada halaman dinding Facebook masing-masing. Pepatah yang telah diubahsuai itu diberi tajuk ‘Pepatah yang telah dipatahkan’. Antara pepatah tersebut adalah seperti berikut:
                             
                        

       Biar putih tulang, jangan kuning gigi

       Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut 
   
       Cubit paha kanan, paha kiri tak rasa apa

       Hendak seribu daya, tak hendak tak apa

 Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana kuat makan.
   
       Alang- alang mandi biar guna sabun.
  
       Membujur lalu melintang pukang.

      Harapkan pagar, pagar tak boleh harap.

 Carik-carik bulu ayam sampai jadi shuttle cock.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan hutang.

Biar mati anak, jangan mati pucuk

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang rimau arwah la jawabnyer...

Carik-carik bulu ayam, lame-lame bogel la ayam tu...

Kalau tidak dipecahkan ruyung, sampai bile pon tak pecah-pecah...

Kusangka panas sampai ke petang, rupenye panas sampai ke malam.. konpius-Konpius

Ke mana tumpahnyer kuah kalo takde orang yang buat tumpah.

Kera di hutan disusukan, anak di rumah kena pegi beli susu sendiri la...

      Hidup segan, dah mati konpem  tak segan                                                                                                
                                                                                              (Disalin daripada halaman Facebook)

Pada pendapat saya, kita tidak seharusnya mengubah suai pepatah-pepatah tersebut. Hal ini demikian kerana, pepatah Melayu merupakan warisan turun-temurun daripada zaman nenek moyang kita lagi. Apabila pepatah ini telah diubahsuai dalam bentuk hiburan maka hilanglah ketulenan warisan bangsa Melayu itu sendiri. Hal ini juga telah mencerminkan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai dan jati diri masyarakatnya yang tinggi. Tidak mustahil perkara ini akan menjadi lebih teruk lagi tambahan pula telah disebarkan melalui pelbagai medium media massa pada masa kini. Oleh itu, kita haruslah bersama-sama mempertahankan bahasa Melayu kita agar warisan Melayu ini akan terus kekal dan tidak mudah diperkotak-katikkan lagi.

Saturday, 6 October 2012

Senyumlah, hidupmu pasti akan ceria...




Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia.

                Hai pembaca-pembaca semua. Apa khabar ? Saya harapkan semuanya sihat-sihat sahaja. Sudah banyak saya bercerita tentang bahasa kan ? Jadi, pada entri kali ini, saya ingin menukar topik sedikit iaitu yang masih lagi dalam konteks pengalaman saya tetapi lebih kepada budaya masyarakat kita ini.

                Saya pasti rakan-rakan semua mesti pernah senyum kan ? Tidak susah bukan hendak senyum ? Tetapi saya masih berasa hairan kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang masih bersikap ego dan sombong yang susah hendak memberikan senyuman mahupun membalas senyuman daripada orang lain.  Bukankah banyak manfaat yang dapat kita peroleh daripada senyuman contohnya seperti mengeratkan hubungan, menambah kenalan, dan juga dapat merenggangkan otot-otot di wajah kita. Dalam agama kita juga telah mengatakan bahawa senyuman itu adalah sedekah. Jadi, tidak ada ruginya sekiranya kita memaniskan muka kita dengan memberikan senyuman.  Di samping itu, dengan senyuman juga kita dapat berkomunikasi dengan orang lain. Kita dapat mengkategorikan senyuman ini sebagai bahasa badan. Jadi, sekiranya kita bertembung dengan orang yang rapat mahupun yang tidak rapat dengan kita, dalam jarak dekat mahupun jauh, dengan memberikan senyuman sudah menjadi simbol bahawa kita telah bertegur sapa dengan mereka.

                Bagi saya , bukanlah bererti orang yang susah hendak senyum itu adalah orang yang sombong. Mungkin sebaliknya juga sekiranya kita betul-betul mengenali orang tersebut. Saya pernah mendengar luahan hati seorang rakan saya yang  pernah dianggap sebagai seorang yang sombong. Rakan-rakan lain menganggap sedemikian kerana dia sukar untuk membalas senyuman daripada mereka. Rakan saya itu pernah berkata kepada saya bahawa dia sebenarnya bukanlah tidak mahu membalas senyuman daripada mereka, tetapi dia menghadapi sedikit masalah dalam penglihatan iaitu mengalami penyakit rabun. Jadi, dia sebenarnya tidak dapat mengesan dengan jelas orang yang telah memberikan senyuman kepadanya.

                Walau bagaimanapun, sememangnya budaya memberikan senyuman ini haruslah dipupuk dalam diri kita. Dengan memberikan senyuman, pasti hidup kita akan ceria. Janganlah kita bersikap sombong dan enggan memberikan senyuman kepada orang lain. Percayalah, dengan memberikan senyuman, hidup kita pasti akan ceria dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.




Bahasa Rojak




Assalammualaikum, terima kasih diucapkan kerana masih setia membaca diari harian tentang bahasa saya ini. Alhamdulillah, idea masih lagi tidak jemu untuk singgah di dalam kotak fikiran agar saya dapat meneruskan dalam penulisan entri-entri blog saya yang seterusnya ini.

Pada waktu ini, saya baru sahaja selesai membaca sebuah novel karya Ilya Abdullah yang bertajuk Coke And Sundae. Setelah berjaya menghabiskan novel ini dalam masa dua hari, saya mendapati pengarang novel ini banyak menggunakan bahasa rojak dalam penulisan novelnya itu. Sekiranya kita lihat kepada tajuk novelnya sahaja sudah dalam bahasa Inggeris walaupun ini merupakan sebuah novel Melayu. Jadi, perkara yang saya ingin kongsikan di sini ialah tentang penggunaan bahasa rojak. Bahasa rojak ialah percampuran lebih daripada satu bahasa. Berikut merupakan antara bahasa rojak yang telah digunakan oleh pengarang dalam novel tersebut :

-->“Kau sibuk apesal? Kau jealous sebab tak dapat pikat aku, kan?
-->“Aku kalau dibagi free perempuan menggeletis macam Emelda ini, aku fikir dua ratus kali.  Harap muka cantik tapi study hancus.
-->“Kau tak nak try ke isi kekosongan di hati Syakir?
-->“Aku tak tahu sama ada skill permainan aku masih power macam dulu atau tak,” ujarnya.




Daripada dialog watak dalam novel tersebut, saya dapat lihat bahawa wujudnya percampuran bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahasa rojak bukan sahaja boleh berlaku antara dua percampuran bahasa sahaja, boleh juga lebih daripada dua bahasa seperti percampuran dengan bahasa Cina mahupun bahasa India. Secara pandangan peribadi, saya sebagai seorang peminat novel berpendapat bahawa apabila pengarang menggunakan bahasa rojak ini dalam penulisannya, bahasa ini dapat menggambarkan tentang perbualan seharian kita lebih-lebih lagi dengan orang yang lebih rapat. Ketika membaca novel itu, saya berintonasi di dalam hati membaca dialog-dialog tersebut. Jadi, saya dapat menggambarkan tentang gaya serta intonasi dialog oleh watak tersebut yang saya rasakan banyak digunakan oleh diri saya sendiri dalam perbualan seharian. Hal ini menjadikan gaya penyampaian novel ini lebih menarik.

Namun, penggunaan bahasa rojak ini lebih banyak keburukannya. Bahasa rojak ini tidaklah sesuai digunakan untuk sesuatu yang bersifat ilmiah dan formal. Penggunaan bahasa rojak juga akan menyebabkan bahasa Melayu kita menjadi rosak. Pada zaman ini, kebanyakan masyarakat telah banyak menggunakan bahasa rojak dalam perbualan mereka. Hal ini akan mendatangkan kesan yang negatif kepada bahasa Melayu kita dan tindakan yang sewajarnya haruslah diambil  bagi membendung masalah ini agar tidak terus-terusan menular.





Sebutan Melayu oleh Si Kulit Hitam



Gambar sekadar hiasan.

Assalammualaikum pembaca sekalian.

Hari ini saya hendak berkongsi dengan pembaca sekalian tentang cara sebutan seorang pensyarah yang pernah mengajar saya. Sedang saya mengelamun memikirkan idea untuk entri yang seterusnya, saya teringat tentang seorang pensyarah yang pernah mengajar saya dalam subjek Kenegaraan pada semester yang lalu. Beliau merupakan seorang pensyarah berbangsa Nigeria yang telah menjadi tenaga pengajar di tempat saya belajar dan telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam kelas. Perkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah adakalanya beliau juga ada menyebut beberapa perkataan Melayu semasa mengajar di dalam kelas. Antara beberapa perkataan Melayu yang lebih kepada nama negeri di Malaysia yang pernah disebut oleh beliau yang dapat saya kongsikan di sini adalah seperti berikut:
·    
  • Kedah    -----Beliau tidak sebut dengan menggunakan e-pepet sebaliknya beliau menyebutnya    dengan menggunakan e-taling.
  • Selangor ----- Beliau sebut sebagai Selanggor.
  • Perlis      ----- Disebut sebagai Parlis


Bunyinya agak kelakar, bukan ? Pada masa itu, agak ramai juga pelajar ketawa apabila mendengar cara sebutan perkataan Melayu tersebut oleh beliau. Walaupun salah dari segi sebutan, saya berasa kagum dengan beliau kerana berusaha dan cuba untuk mendalami bahasa Melayu. Saya juga terfikir, agaknya apabila saya menyebut perkataan dalam bahasa mereka juga mesti terbelit-belit lidah untuk menyebutnya. Namun, saya pasti tidak mustahil sekiranya kita berusaha untuk mendalami sesuatu bahasa lain dengan bersungguh-sungguh, lidah kita pasti akan dapat dilentur dengan baik . Insya-Allah.