Pada entri kali ini, saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya bertemu dengan seorang kakitangan wanita yang tidak bersifat mesra pelanggan. Kejadian ini berlaku apabila saya dan beberapa orang rakan yang lain ingin mengambil sijil dekan di fakulti. Setelah tiba di fakulti tersebut, kami pun terus menuju ke sebuah bilik yang telah ditempatkan untuk mengambil sijil itu. Salah seorang daripada kami memberikan salam sambil mengetuk pintu bilik itu buat beberapa kali dan kami pun masuk ke dalam bilik tersebut. Di dalam bilik tersebut, saya memerhatikan bahawa hanya terdapat seorang sahaja kakitangan manakala seorang lagi yang ditugaskan untuk memberikan sijil itu kepada kami tidak berada di tempatnya. Namun, perkara yang menyedihkan kami apabila seorang kakitangan yang berada di dalam bilik tersebut, tanpa memanggungkan kepalanya melihat kami, tanpa secalit senyuman pun di wajahnya itu telah menyuruh kami menunggu di luar. Dengan intonasi suaranya dan lagaknya yang sombong itu telah membuatkan kami berasa agak berkecil hati. Setelah itu, kami pun terus keluar dengan hati yang sebal. Rupa-rupanya, bukan kami sahaja yang telah mendapat layanan sebegini. Kami turut mendengar aduan daripada rakan-rakan yang turut menerima nasib yang sama.
Pada pendapat saya, kita sebagai
sesama manusia malahan sesama agama juga kita haruslah mengamalkan nilai-nilai
murni dalam kehidupan. Antara nilai murni yang dapat diamalkan ialah
bersopan-santun, hormat-menghormati, bantu-membantu dan sebagainya. Dalam
konteks ini, kakitangan tersebut tidak wajar mempamerkan ekspresi muka yang
kurang menyenangkan serta tidak ada perhubungan dua mata ataupun eye contact ketika bercakap dengan orang
lain. Ini merupakan antara adab ketika kita berkomunikasi. Lebih baik
sekiranya kita memaniskan muka dan menggunakan intonasi suara yang sesuai
semasa melakukan perbualan. Selain itu, kakitangan tersebut perlulah lebih
bersifat mesra di samping menunjukkan sikap yang dapat dijadikan contoh kepada
para pelajar. Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan amalan murni
sebagai budaya dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment