Saturday, 6 October 2012

Senyumlah, hidupmu pasti akan ceria...




Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia.

                Hai pembaca-pembaca semua. Apa khabar ? Saya harapkan semuanya sihat-sihat sahaja. Sudah banyak saya bercerita tentang bahasa kan ? Jadi, pada entri kali ini, saya ingin menukar topik sedikit iaitu yang masih lagi dalam konteks pengalaman saya tetapi lebih kepada budaya masyarakat kita ini.

                Saya pasti rakan-rakan semua mesti pernah senyum kan ? Tidak susah bukan hendak senyum ? Tetapi saya masih berasa hairan kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang masih bersikap ego dan sombong yang susah hendak memberikan senyuman mahupun membalas senyuman daripada orang lain.  Bukankah banyak manfaat yang dapat kita peroleh daripada senyuman contohnya seperti mengeratkan hubungan, menambah kenalan, dan juga dapat merenggangkan otot-otot di wajah kita. Dalam agama kita juga telah mengatakan bahawa senyuman itu adalah sedekah. Jadi, tidak ada ruginya sekiranya kita memaniskan muka kita dengan memberikan senyuman.  Di samping itu, dengan senyuman juga kita dapat berkomunikasi dengan orang lain. Kita dapat mengkategorikan senyuman ini sebagai bahasa badan. Jadi, sekiranya kita bertembung dengan orang yang rapat mahupun yang tidak rapat dengan kita, dalam jarak dekat mahupun jauh, dengan memberikan senyuman sudah menjadi simbol bahawa kita telah bertegur sapa dengan mereka.

                Bagi saya , bukanlah bererti orang yang susah hendak senyum itu adalah orang yang sombong. Mungkin sebaliknya juga sekiranya kita betul-betul mengenali orang tersebut. Saya pernah mendengar luahan hati seorang rakan saya yang  pernah dianggap sebagai seorang yang sombong. Rakan-rakan lain menganggap sedemikian kerana dia sukar untuk membalas senyuman daripada mereka. Rakan saya itu pernah berkata kepada saya bahawa dia sebenarnya bukanlah tidak mahu membalas senyuman daripada mereka, tetapi dia menghadapi sedikit masalah dalam penglihatan iaitu mengalami penyakit rabun. Jadi, dia sebenarnya tidak dapat mengesan dengan jelas orang yang telah memberikan senyuman kepadanya.

                Walau bagaimanapun, sememangnya budaya memberikan senyuman ini haruslah dipupuk dalam diri kita. Dengan memberikan senyuman, pasti hidup kita akan ceria. Janganlah kita bersikap sombong dan enggan memberikan senyuman kepada orang lain. Percayalah, dengan memberikan senyuman, hidup kita pasti akan ceria dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.




Bahasa Rojak




Assalammualaikum, terima kasih diucapkan kerana masih setia membaca diari harian tentang bahasa saya ini. Alhamdulillah, idea masih lagi tidak jemu untuk singgah di dalam kotak fikiran agar saya dapat meneruskan dalam penulisan entri-entri blog saya yang seterusnya ini.

Pada waktu ini, saya baru sahaja selesai membaca sebuah novel karya Ilya Abdullah yang bertajuk Coke And Sundae. Setelah berjaya menghabiskan novel ini dalam masa dua hari, saya mendapati pengarang novel ini banyak menggunakan bahasa rojak dalam penulisan novelnya itu. Sekiranya kita lihat kepada tajuk novelnya sahaja sudah dalam bahasa Inggeris walaupun ini merupakan sebuah novel Melayu. Jadi, perkara yang saya ingin kongsikan di sini ialah tentang penggunaan bahasa rojak. Bahasa rojak ialah percampuran lebih daripada satu bahasa. Berikut merupakan antara bahasa rojak yang telah digunakan oleh pengarang dalam novel tersebut :

-->“Kau sibuk apesal? Kau jealous sebab tak dapat pikat aku, kan?
-->“Aku kalau dibagi free perempuan menggeletis macam Emelda ini, aku fikir dua ratus kali.  Harap muka cantik tapi study hancus.
-->“Kau tak nak try ke isi kekosongan di hati Syakir?
-->“Aku tak tahu sama ada skill permainan aku masih power macam dulu atau tak,” ujarnya.




Daripada dialog watak dalam novel tersebut, saya dapat lihat bahawa wujudnya percampuran bahasa antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahasa rojak bukan sahaja boleh berlaku antara dua percampuran bahasa sahaja, boleh juga lebih daripada dua bahasa seperti percampuran dengan bahasa Cina mahupun bahasa India. Secara pandangan peribadi, saya sebagai seorang peminat novel berpendapat bahawa apabila pengarang menggunakan bahasa rojak ini dalam penulisannya, bahasa ini dapat menggambarkan tentang perbualan seharian kita lebih-lebih lagi dengan orang yang lebih rapat. Ketika membaca novel itu, saya berintonasi di dalam hati membaca dialog-dialog tersebut. Jadi, saya dapat menggambarkan tentang gaya serta intonasi dialog oleh watak tersebut yang saya rasakan banyak digunakan oleh diri saya sendiri dalam perbualan seharian. Hal ini menjadikan gaya penyampaian novel ini lebih menarik.

Namun, penggunaan bahasa rojak ini lebih banyak keburukannya. Bahasa rojak ini tidaklah sesuai digunakan untuk sesuatu yang bersifat ilmiah dan formal. Penggunaan bahasa rojak juga akan menyebabkan bahasa Melayu kita menjadi rosak. Pada zaman ini, kebanyakan masyarakat telah banyak menggunakan bahasa rojak dalam perbualan mereka. Hal ini akan mendatangkan kesan yang negatif kepada bahasa Melayu kita dan tindakan yang sewajarnya haruslah diambil  bagi membendung masalah ini agar tidak terus-terusan menular.





Sebutan Melayu oleh Si Kulit Hitam



Gambar sekadar hiasan.

Assalammualaikum pembaca sekalian.

Hari ini saya hendak berkongsi dengan pembaca sekalian tentang cara sebutan seorang pensyarah yang pernah mengajar saya. Sedang saya mengelamun memikirkan idea untuk entri yang seterusnya, saya teringat tentang seorang pensyarah yang pernah mengajar saya dalam subjek Kenegaraan pada semester yang lalu. Beliau merupakan seorang pensyarah berbangsa Nigeria yang telah menjadi tenaga pengajar di tempat saya belajar dan telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam kelas. Perkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah adakalanya beliau juga ada menyebut beberapa perkataan Melayu semasa mengajar di dalam kelas. Antara beberapa perkataan Melayu yang lebih kepada nama negeri di Malaysia yang pernah disebut oleh beliau yang dapat saya kongsikan di sini adalah seperti berikut:
·    
  • Kedah    -----Beliau tidak sebut dengan menggunakan e-pepet sebaliknya beliau menyebutnya    dengan menggunakan e-taling.
  • Selangor ----- Beliau sebut sebagai Selanggor.
  • Perlis      ----- Disebut sebagai Parlis


Bunyinya agak kelakar, bukan ? Pada masa itu, agak ramai juga pelajar ketawa apabila mendengar cara sebutan perkataan Melayu tersebut oleh beliau. Walaupun salah dari segi sebutan, saya berasa kagum dengan beliau kerana berusaha dan cuba untuk mendalami bahasa Melayu. Saya juga terfikir, agaknya apabila saya menyebut perkataan dalam bahasa mereka juga mesti terbelit-belit lidah untuk menyebutnya. Namun, saya pasti tidak mustahil sekiranya kita berusaha untuk mendalami sesuatu bahasa lain dengan bersungguh-sungguh, lidah kita pasti akan dapat dilentur dengan baik . Insya-Allah.

Friday, 5 October 2012

Dilaksanakan atau di laksanakan ?


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pada entri yang sebelum ini, saya telah berkongsi pengalaman bahasa saya tentang kesalahan dalam ejaan. Baiklah, pada entri kali ini, saya ingin berkongsi pula tentang pengalaman bahasa saya yang lain iaitu berkenaan dengan penggunaan kata sendi di.
                Alkisahnya bermula apabila saya dan beberapa orang rakan dalam perjalanan untuk menuju ke satu destinasi dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Dalam perjalanan itu, mata saya sempat memerhatikan keadaan di kawasan sekeliling. Sedang mata asyik meliar-liar di kawasan persekitaran itu, mata saya sempat menangkap satu kawasan yang sedang dalam proses pembinaan. Di situ, terdapat satu papan tanda yang bertulis seperti ini :

                                                    Awas ! Pembinaan sedang di laksanakan





Jadi, saya telah mengenal pasti bahawa terdapat kesalahan pada penggunaan kata sendi yang telah tertulis di papan tanda tersebut. Kesalahan itu dapat diperbetulkan sekiranya kata sendi di itu dirapatkan pada perkataan dilaksanakan. Selama ilmu yang telah saya pelajari, penggunaan kata sendi di hanya perlu dijarakkan sekiranya menceritakan tentang tempat sahaja. Jadi, kita haruslah peka terhadap penggunaan kata sendi yang betul.

Gorong-royong ?


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

 Pada entri blog saya pada kali ini, saya ingin berkongsi tentang kesalahan ejaan. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa adakalanya sesuatu perkataan itu sudah popular menjadi halwa telinga dan tatapan pancaindera kita tetapi apabila hendak mengeja perkataan tersebut, kita seakan-akan tidak pasti untuk mengejanya. Perkara ini mungkin nampak mudah tetapi mungkin akan memberikan impak yang besar terhadap penggunaan bahasa Melayu kita. Kesalahan ejaan tersebut mungkin boleh membawa makna yang berbeza ataupun tidak mempunyai sebarang makna.

          Pada beberapa hari yang lepas, saya telah membeli senaskhah akhbar. Ketika asyik membaca berita-berita yang terdapat di dalam akhbar tersebut, saya terpandang satu petikan akhbar yang saya rasakan salah satu daripada perkataan itu sering didengar dan sering saya tuturkan. Saya pun cuba menyebut perkataan tersebut secara berulang-ulang namun saya dapat merasakan sedikit kecacatan dalam kelancaran apabila menyebut perkataan tersebut. Perkataan yang saya maksudkan ialah ‘Gorong-royong’ yang sepatutnya dieja sebagai gotong-royong.



          Pada pendapat saya, bagi sesuatu medium yang telah menjadi tatapan umum masyarakat, kesalahan seperti ini tidak wajarlah berlaku. Mungkin tampak remeh tetapi boleh memberikan implikasi yang besar kepada masyarakat bahasa. Tidak mustahil juga sekiranya perkara ini terus berlaku, perkataan ini mungkin akan menjadi sebati dalam diri khalayak dan mungkin juga pembaca akan menjadi keliru tentang ejaan yang sebenarnya. Tidak kepada golongan dewasa, mungkin akan berlaku kepada golongan pelajar sekolah rendah dan sebagainya yang gemar membaca surat khabar. Jadi, pihak tersebut haruslah membuat penelitian atau semakan yang sebenar-benarnya agar kesilapan ejaan ini dapat dihindarkan dan tidak berulang lagi. 

Sunday, 30 September 2012

Perumpamaan Melayu




Assalammualaikum dan salam sejahtera.

            Pada entri blog kali ini, saya ingin berkongsi tentang perumpamaan masyarakat Melayu. Idea ini tercetus apabila saya terbaca satu blog yang telah memcatatkan entri tentang tajuk ini. Jadi, tajuk ini telah menarik perhatian saya untuk berkongsi dengan anda semua tentang perumpamaan Melayu yang telah diubahsuaikan oleh masyarakat kini.
Simpulan bahasa atau perumpamaan merupakan hasil ciptaan nenek moyang kita yang terdahulu yang masih digunakan sehingga kini. Salah satu peranannya adalah sebagai bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu. Hal ini menggambarkan bahawa bahasa masyarakat Melayu pada zaman dahulu penuh dengan adab sopan santunnya. Namun, pada pemerhatian saya, warisan bangsa Melayu ini semakin hilang nilai jati dirinya. Perumpamaan ini telah diubahsuai dan dijadikan sebagai bahan hiburan yang berunsurkan jenaka.
Berikut saya kongsikan perumpamaan yang betul yang telah diubahsuai yang pernah saya baca dan dengar. Sama-sama kita perhatikan.

1.      Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
-          Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kereta pun boleh diundur, terlajak  kapal terbang takde gear reverse, sori.
   
2.      Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
-          Bersatu kita teguh, bercerai kita kahwin lain.

3.      Sudah jatuh ditimpa tangga.
-          Sudah jatuh ditimpa pula tangga, lepas tu tercium pulak tahi ayam.

4.      Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
-          Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal ketiak.

5.      Alang-alang mandi biar sampai basah.
-          Alang-alang mandi biar guna sabun dan syampu.

6.      Biar putih tulang jangan putih mata.
-          Biar putih tulang jangan kuning gigi.

7.      Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-lenang kemudian.
-          Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, lama-lama jadi letih.

8.      Biar lambat asalkan selamat.
-          Biar lambat asalkan perlahan.

Pada pendapat saya, apabila perumpamaan ini diubahsuai, nilai warisan masyarakat Melayu itu sendiri akan hilang. Nilai jati diri warisan bangsa Melayu itu sendiri yang kaya dengan tatasusila dan bahasa santunnya akan luntur. Hal ini juga telah menggambarkan bahawa bahasa Melayu kita ini terlalu mudah untuk diperkotak-katikkan. Selain itu, perumpamaan sebegini sekiranya digunakan secara terus-terusan dikhuatiri akan menjadi ikutan kepada generasi seterusnya dan akan hilanglah warisan bangsa Melayu itu sendiri. 



Amboi, lewahnya bahasa !

Assalammualaikum dan salam sejahtera pembaca sekalian.
                Pada entri blog saya kali ini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan tentang penggunaan bahasa yang lewah. Penggunaan bahasa yang lewah ini bermaksud menggunakan perkataan atau ayat yang berlebih-lebihan.
Pada beberapa hari yang lepas, saya dan seorang rakan karib saya telah pergi ke pasar raya untuk membeli sedikit barangan keperluan. Jadi, kami berdua pun membeli-belah sedikit perkakasan dapur dan bahan mentah di pasar raya tersebut. Apabila sedang asyik berjalan di sekitar kawasan pasar raya tersebut, saya terpandang satu papan iklan yang dipenuhi dengan tampalan poster. Jadi, saya pun membaca beberapa poster yang kebanyakannya berunsurkan pengiklanan di situ. Antara kebanyakan poster yang terdapat di situ, terdapat satu poster pengiklanan yang sedang mempromosikan perkhidmatan menyewa kereta yang telah menggunakan bahasa yang lewah. Berikut merupakan ayat lewah yang terdapat pada poster iklan tersebut :

  • Marilah kita saling bantu - membantu dan tolong - menolong antara satu sama lain dalam melakukan kebajikan.
Contoh penggunaan bahasa lewah yang lain turut dapat saya tonjolkan dalam entri ini. Penggunaan bahasa lewah ini sering saya baca ketika membaca karangan adik saya yang berada di Tingkatan 4.
Contoh : Kita haruslah saling bantu-membantu dalam membersihkan kawasan ini.
Dalam konteks penggunaan bahasa yang betul, sekiranya telah menggunakan perkataan saling di hadapan perkataan bantu-membantu, perkataan bantu-membantu tersebut tidak perlu digandakan. Berikut merupakan penggunaan ayat yang betul.
Contoh 1 : Kita haruslah saling membantu dalam membersihkan kawasan ini.
Boleh juga menjadi ayat seperti ini :
Contoh 2 : Kita haruslah bantu- membantu dalam membersihkan kawasan ini.  
          Penggunaan bahasa yang telah sedia membawa maksud yang utuh, tidak harus lagi dikuatkan peranannya dalam bahasa. Sekiranya disertakan juga, akan membawa maksud yang lewah ataupun berlebih-lebihan. Jadi, kita haruslah peka terhadap penggunaan bahasa yang lewah ini dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Bahasa ‘Kanak-kanak Facebook’

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dengan izin dan rahmat-Nya , saya masih bernafas dan dapat meneruskan dalam penulisan entri blog saya yang ketiga ini. Alhamdulillah.
Pada zaman kepesatan teknologi kini, kebanyakan masyarakat dunia masing-masing telah mempunyai laman sosial peribadi mereka sendiri seperti Facebook, Twitter , Skype dan sebagainya. Sudah menjadi kelaziman bagi diri kita dalam melayari laman sosial ini. Misalnya, diri saya sendiri tidak dapat lari daripada melayari akaun peribadi saya sendiri iaitu Facebook. Sekiranya tidak dapat melayari laman sosial ini dalam sehari, jiwa berasa gelisah. Hati meronta-ronta untuk pergi ke cyber cafe atau mana-mana kawasan yang menyediakan perkhidmatan wifi semata-mata untuk melayari laman ini. Begitu kuatnya penangan Facebook dalam kehidupan saya.
Namun, itu bukanlah fokus utama yang ingin saya ketengahkan pada entri kali ini. Baiklah, pada entri blog saya yang ketiga ini, saya ingin bercerita tentang masalah bahasa ‘Kanak-kanak Facebook’. Walaupun umur sudah menginjak kepada belasan dan puluhan tahun, golongan ini masih menggunakan bahasa yang hanya layak digunakan oleh kanak-kanak sahaja. Malahan, pada pemerhatian saya, penggunaan bahasa kanak-kanak dalam kalangan golongan jenis ini semakin menular terutamanya dalam penggunaan bahasa ringkas dalam laman sosial. Di sini saya fokuskan kepada laman sosial yang popular pada masa kini iaitu Facebook.  Jadi, sebagai insan yang bertanggungjawab, kita haruslah bersama-sama dalam menggembleng tenaga bagi menghapuskan golongan ini.
Berikut merupakan contoh yang pernah saya terbaca di Facebook tentang bahasa ‘kanak-kanak’ yang telah digunakan oleh golongan ini.
Contoh 1 : ‘’ittew ta shukeww larhh !”
Contoh 2 : “ittew cume na tawu awk marah kat ittew kew ?”
Tidak pasti sama ada golongan ini mempunyai masalah dalam berbahasa ataupun tidak mengetahui sistem penggunaan ejaan yang betul. Mungkin golongan ini merasakan bahawa penggunaan bahasa yang mereka gunakan ini menarik dan menyifatkannya sebagai kreatif ataupun mungkin juga mereka menyifatkan bahasa tersebut sebagai bahasa yang manja. Tapi saya rasakan tidak sama sekali. Penggunaan bahasa jenis ini hanya akan merosakkan bahasa kita.

Dunia Bahasa SMS

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
                Selamat datang ke blog saya ini. Alhamdulillah berkat usaha dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan, kini saya telah semakin mahir dalam menulis blog . Syukur.
                Pada entri blog saya yang pertama, saya telah berkongsi tentang kepelbagaian dialek antara saya dan rakan-rakan. Pada entri blog saya yang kedua ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang penggunaan bahasa SMS pada masa kini.
                Semakin jelas, penggunaan bahasa SMS pada masa kini sudah tidak terasing dalam kalangan masyarakat. Malahan, penggunaan bahasa SMS boleh dikatakan sudah menjadi trend dalam diri pengguna teknologi telekomunikasi seperti telefon bimbit ataupun perkhidmatan sistem komunikasi yang lain. Saya juga tidak terkecuali dalam penggunaan bahasa SMS ini.
                Kita telah sedia maklum bahawa penggunaan bahasa SMS ini adalah bertujuan untuk memudahkan serta mempercepatkan dalam sesuatu proses penyampaian mesej kepada pihak lain.  Kita tidak perlu menulis atau menaip ejaan yang penuh bagi setiap patah perkataan. Namun, penggunaan bahasa SMS pada masa kini pada hemat saya sudah terkeluar dari landasan yang wajar sehinggakan penggunaan singkatan bagi perkataan tersebut sukar untuk difahami. Jadi, hal ini mungkin akan menyebabkan kesukaran dalam membaca mesej tersebut dan mungkin juga akan tersalah tafsir dalam memahami maksud sebenar mesej yang ingin disampaikan oleh mereka. Penggunaan bahasa SMS yang tidak sepatutnya ini telah menyebabkan bahasa kita semakin hilang identitinya yang tersendiri.
                Memang kita tidak dapat menafikan bahawa diri kita sendiri kebanyakannya menggunakan bahasa SMS ini walaupun penggunaannya tidak digalakkan dan akan merosakkan bahasa. Namun, untuk memudahkan diri kita sendiri dalam kehidupan seharian, penggunaan bahasa ini boleh diteruskan untuk penggunaan yang tidak formal  dan haruslah dalam konteks penggunaan singkatan yang masih wajar. Maksud saya di sini, kita mestilah menggunakan bahasa SMS yang masih bercirikan sistem ejaan yang betul yang beridentitikan bahasa yang sebenar dan bukanlah bahasa SMS yang langsung tidak dapat difahami.
                Saya juga pernah pada suatu ketika dahulu mempunyai pengalaman dalam menerima bahasa SMS yang langsung tidak dapat difahami. Jadi, saya telah membuat andaian mengikut kefahaman saya sendiri. Tidak pasti sama ada maksud sebenar si penyampai sama dengan apa yang telah saya fahami. Jadi, penggunaan bahasa SMS ini lebih banyak kontra daripada kebaikannya.

Kepelbagaian Dialek Kita

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Bismillahhirrahmanirrahim.
Hai, pembaca semua! Selamat datang ke blog saya ini. Buat pengetahuan semua, ini merupakan entri blog saya yang pertama. Saya masih dalam proses mempelajari dengan lebih mendalam tentang cara-cara untuk menghasilkan blog ini. Selalunya saya hanya membaca blog-blog orang lain sahaja. Kini, saya sudah memiliki blog saya sendiri. Nampaknya saya sudah agak ketinggalan berbanding rakan-rakan lain yang sudah lama memiliki blog mereka sendiri. Jadi, masih banyak lagi yang perlu saya belajar agar saya juga mahir dalam menghasilkan blog seperti mereka.
                Baiklah, berbalik kepada tujuan asal saya untuk entri blog saya yang pertama ini. Sebenarnya, saya ingin berkongsi tentang dialek bahasa yang terdapat di negara kita ini, Malaysia. Seperti yang kita telah sedia maklum, negara kita mempunyai kepelbagaian dialek. Antaranya ialah dialek Kedah, dialek Perak, dialek Pahang, dialek Kelantan, dialek Terengganu, dan sebagainya.
Di sini, saya ingin fokuskan kepada pengalaman bahasa dialek saya sendiri dan rakan-rakan saya. Seperti saya sendiri, saya menggunakan dialek orang utara iaitu dialek Kedah manakala, 2 orang rakan baik saya menggunakan dialek Perak dan seorang rakan saya lagi menggunakan dialek Kelantan.
Dalam berkomunikasi dengan menggunakan dialek masing-masing, terdapat perbezaan dalam sebutan sesuatu perkara atau benda yang merujuk kepada perkara atau benda yang sama. Misalnya, dalam perbualan seharian antara kami, penggunaan dialek yang paling menonjol adalah dari segi sistem panggilan. Saya menggunakan sistem panggilan aku untuk kata ganti diri pertama dan hang atau hangpa untuk merujuk kepada orang yang kedua manakala, bagi rakan saya yang menggunakan dialek Perak, mereka menggunakan istilah miker yang merujuk kepada orang pertama dan kome untuk merujuk orang yang kedua. Rakan saya yang menggunakan dialek Kelantan pula menggunakan  istilah ambo untuk kata ganti diri yang pertama dan demo untuk kata ganti diri yang kedua. Walaupun berbeza tetapi masih merujuk kepada perkara yang sama. Hal ini mencerminkan bahawa wujud variasi bahasa di negara kita. 


Rakan-rakan yang menggunakan pelbagai dialek negeri masing-masing antaranya Perak, Kedah, dan Kelantan.