Alhamdulillah,
pada kali ini saya hendak berkongsi tentang satu fenomena di dalam negara kita.
Pada setiap hari sabtu, saya akan berkunjung ke pasar malam Tanjong Malim untuk
membeli sedikit barang basah dan makanan. Acapkali saya ke sana, saya sering
melihat fenomena peminta sedekah yang menagih simpati daripada orang ramai
untuk menghulurkan wang kepada mereka. Bukan seorang atau dua orang sahaja,
malah ramai peminta sedekah yang menjalankan kegiatan mereka di situ. Ada yang
terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa, orang tua, kaum lelaki mahupun kaum
wanita. Terdapat dalam kalangan mereka
yang menghadapi kecacatan pada tubuh fikizal namun terdapat juga yang mempunyai tubuh badan yang lengkap tetapi
masih menjadi peminta sedekah. Saya pun tidak pasti dengan segelintir manusia
ini yang masih mempunyai tubuh badan yang sihat tetapi masih mengharapkan
bantuan daripada orang ramai. Adakah mereka ini dapat dikategorikan sebagai
manusia yang malas untuk berusaha dan bekerja? Saya pun tidak pasti. Mungkin
juga mereka ada alasan mereka yang tersendiri yang tidak kita tahu. Setiap kali
saya melihat kanak-kanak ataupun golongan orang tua yang meminta simpati
daripada orang ramai, terbit rasa kasihan di hati ini. Banyak persoalan yang
timbul di benak fikiran. Adakah nasib mereka akan berterusan begini sepanjang
hidup mereka? Pada peringkat umur kanak-kanak ini, mereka sepatutnya hidup
dalam suasana yang normal, yang dibelikan pelbagai alat permainan, yang
diberikan kasih sayang, pendidikan dan sebagainya. Golongan tua pula merupakan
waktu untuk mereka berehat di rumah dan melengkapkan diri dengan beribadah.
Namun, fenomena yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka terpaksa duduk dan tidur
di tepi-tepi jalan dan hanya mengharapkan simpati daripada orang ramai sahaja.
Saturday, 13 October 2012
Aduhai, Si Penagih Simpati !
Terima Kasih...
Assalammualaikum dan selamat petang.
Pada kali ini
saya ingin menceritakan tentang budaya berterima kasih. Pada hari ini, saya dan
seorang rakan karib telah pergi ke KFC bagi menyambut hari ulang tahun
kelahiran saya yang ke-22 tahun. Setibanya di sana, kami beratur untuk membuat
pesanan makanan di kaunter. Pada pemerhatian saya, layanan yang telah diberikan
oleh pihak KFC yang bertugas pada hari itu adalah amat baik. Mereka memberikan
layanan yang sangat baik dengan sentiasa memaniskan muka sewaktu melayan setiap
pelanggan yang datang. Setelah mereka siap menyediakan menu yang telah dipesan
dan pelanggan membuat pembayaran, mereka
mengucapkan terima kasih. Mereka mengucapkan terima kasih kepada setiap
pelanggan yang telah menerima perkhidmatan daripada mereka. Terdapat juga
pelanggan yang turut mengucapkan ucapan terima kasih setelah menerima layanan
daripada pihak KFC tersebut.
Pada pandangan
saya, budaya mengucapkan terima kasih ini adalah perlu dalam kehidupan kita. Dalam
situasi ini, pihak pelanggan akan berasa dihargai. Di samping itu, dengan
mengucapkan terima kasih juga akan dapat mewujudkan hubungan yang baik antara
pihak penjual dan pembeli. Dengan layanan yang baik juga, pelanggan mungkin
tidak akan serik untuk kembali berkunjung ke sana lagi. Oleh itu, marilah kita
bersama-sama membudayakan diri dengan sentiasa memberikan ucapan terima kasih dalam pelbagai situasi dalam kehidupan kita.
Wednesday, 10 October 2012
Dari atau Daripada ?
Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Pada
hari rabu yang lalu, 9/10/2012, saya dan beberapa orang rakan telah mendapat
peluang untuk ke RTM yang terletak di Kuala Lumpur. Kami pergi dengan menaiki
sebuah bas. Bertolak pada pukul 10.30 pagi dan kami tiba di sana pada pukul 12
tengah hari. Setibanya di sana, kami diberikan masa untuk berehat dan
seterusnya menunaikan solat Zohor dan makan tengah hari. Setelah itu, kami
dibawa ke dalam studio untuk satu sesi rakaman bagi program Generasi Y yang
akan disiarkan pada setiap hari sabtu, pada pukul 2 petang di TV 1.
Semasa
berlangsungnya sesi rakaman di studio tersebut, terdapat satu slot yang
memerlukan beberapa orang pelajar untuk menanyakan tiga soalan kepada pihak
panel. Semasa salah seorang pelajar itu memperkenalkan dirinya kepada pihak
panel, saya dapat mengenal pasti bahawa pelajar tersebut telah menggunakan kata
sendi nama yang salah sewaktu memperkenalkan dirinya. Berikut merupakan
kata-kata pelajar tersebut sewaktu memperkenalkan dirinya kepada pihak panel :
“Assalammualaikum,
nama saya Si A, saya berasal daripada Johor.”
Berdasarkan
dialog di atas, saya telah mengenal pasti bahawa Si A telah melakukan kesalahan
dalam penggunaan kata sendi nama daripada.
Kata sendi nama daripada sepatutnya
boleh hadir di hadapan frasa nama yang menyatakan punca ataupun perbezaan.
Jadi, penggunaan kata sendi nama daripada
tidak boleh digunakan sekiranya menyatakan tempat. Berdasarkan ayat tersebut,
penggunaan kata sendi nama yang sepatutnya digunakan oleh Si A sewaktu
memberitahu negeri asalnya ialah menggunakan kata sendi nama dari kerana kata sendi ini digunakan
untuk menyatakan tempat, arah mahupun waktu.
Saya sering terdengar kekeliruan dalam kalangan
masyarakat bahasa dengan penggunaan antara kedua-dua kata sendi nama ini iaitu
antara dari dan daripada. Kesalahan ini sering berlaku dalam kalangan kita. Jadi,
kita sebagai pengguna bahasa haruslah peka terhadap penggunaan kata sendi nama
yang betul dan tepat. Kita haruslah
sentiasa melakukan rujukan dari semasa ke semasa agar kita tidak terus
terbelengu dengan kekeliruan ini dan seterusnya dapat mempraktikkan bahasa yang
betul dalam kehidupan.
Gambar kenangan di studio rakaman untuk slot program Generasi Y |
Hukum D-M
Ketika saya
menulis blog ini, saya sedang berada di dalam bilik kuliah untuk mengikuti sesi
pembelajaran. Saya mengambil kesempatan masa yang ada dengan mencari idea untuk
menulis entri blog saya memandangkan pensyarah masih belum lagi masuk ke dalam
kelas. Alhamdulillah, ketika ligat memikirkan idea, tiba-tiba saya terimbas
kembali semasa saya hendak membeli kuih untuk sarapan sebelum ke kuliah pagi
tadi. Ketika saya hendak membeli kuih yang dijual di gerai berhadapan dengan
kampus, terdapat seorang mak cik yang menjual kuih-muih dan antaranya terdapat
satu makanan kegemaran saya iaitu pisang goreng. Berikut merupakan dialog
antara saya dan penjual kuih tersebut:
Saya : “Mak cik, goreng pisang ni seringgit berapa?”
Saya : “Mak cik, goreng pisang ni seringgit berapa?”
Penjual : “Tiga biji seringgit, dik.”
Dalam dialog
tersebut, saya tidak sedar bahawa saya telah menggunakan kesalahan hukum D-M
dalam bahasa Melayu iaitu yang diterangkan mendahului yang menerangkan. Hal ini
mungkin kerana saya sudah terbiasa menggunakan perkataan tersebut. Dari segi
makna, antara pisang goreng dan goreng pisang, kedua-dua ini mempunyai
maksud yang berbeza. Pisang goreng
membawa maksud pisang yang telah sedia siap digoreng manakala goreng pisang pula ialah ketika pisang
itu digoreng. Jadi, kedua-dua perkataan ini telah membawa maksud yang berbeza.
Oleh itu, pada masa yang seterusnya saya haruslah peka dengan penggunaan
perkataan ini agar menepati hukum yang telah ditetapkan dalam bahasa Melayu.
Sunday, 7 October 2012
Pepatah, Warisan Melayu Kita
Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Pada waktu ini, saya baru sahaja pulang ke rumah setelah tamat waktu kuliah lebih kurang pada pukul 5.30 petang. Setelah selesai membersihkan diri dan menunaikan solat asar, saya telah menghidupkan komputer riba saya dan melayari akaun Facebook bagi mengikuti perkembangan semasa dan mencari sedikit maklumat mengenai tugasan. Semasa sedang asyik melayari laman utama Facebook, saya terpandang akan satu artikel yang berunsur jenaka yang berkaitan juga dengan pepatah-pepatah Melayu. Artikel itu telah dikongsi oleh beberapa kenalan Facebook saya pada halaman dinding Facebook masing-masing. Pepatah yang telah diubahsuai itu diberi tajuk ‘Pepatah yang telah dipatahkan’. Antara pepatah tersebut adalah seperti berikut:
Biar putih tulang, jangan kuning gigi
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut
Cubit paha kanan, paha kiri tak rasa apa
Hendak seribu daya, tak hendak tak apa
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana kuat makan.
Alang- alang mandi biar guna sabun.
Membujur lalu melintang pukang.
Harapkan pagar, pagar tak boleh harap.
Carik-carik bulu ayam sampai jadi shuttle cock.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan hutang.
Biar mati anak, jangan mati pucuk
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang rimau arwah la jawabnyer...
Carik-carik bulu ayam, lame-lame bogel la ayam tu...
Kalau tidak dipecahkan ruyung, sampai bile pon tak pecah-pecah...
Kusangka panas sampai ke petang, rupenye panas sampai ke malam.. konpius-Konpius
Ke mana tumpahnyer kuah kalo takde orang yang buat tumpah.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah kena pegi beli susu sendiri la...
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan hutang.
Biar mati anak, jangan mati pucuk
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang rimau arwah la jawabnyer...
Carik-carik bulu ayam, lame-lame bogel la ayam tu...
Kalau tidak dipecahkan ruyung, sampai bile pon tak pecah-pecah...
Kusangka panas sampai ke petang, rupenye panas sampai ke malam.. konpius-Konpius
Ke mana tumpahnyer kuah kalo takde orang yang buat tumpah.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah kena pegi beli susu sendiri la...
Hidup segan, dah mati konpem tak segan
(Disalin daripada halaman Facebook)
Pada pendapat saya, kita tidak seharusnya mengubah suai pepatah-pepatah tersebut. Hal ini demikian kerana, pepatah Melayu merupakan warisan turun-temurun daripada zaman nenek moyang kita lagi. Apabila pepatah ini telah diubahsuai dalam bentuk hiburan maka hilanglah ketulenan warisan bangsa Melayu itu sendiri. Hal ini juga telah mencerminkan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai dan jati diri masyarakatnya yang tinggi. Tidak mustahil perkara ini akan menjadi lebih teruk lagi tambahan pula telah disebarkan melalui pelbagai medium media massa pada masa kini. Oleh itu, kita haruslah bersama-sama mempertahankan bahasa Melayu kita agar warisan Melayu ini akan terus kekal dan tidak mudah diperkotak-katikkan lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)