Apa khabar semua ? Diharapkan semua dalam keadaan baik-baik sahaja. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga dengan kehadiran raya pada kali ini akan memberi lebih keberkatan dan mengukuhkan ikatan ukhuwah antara kita semua.
Bersempena dengan raya korban pada kali ini, saya dan keluarga telah berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat-handai. Sudah menjadi satu budaya ketika hari raya, kami akan bersalam-salaman dan memohon maaf antara satu sama lain sekiranya terdapat kesalahan yang telah dilakukan antara sedar ataupun tidak ,baik yang telah lama mahupun yang baru sahaja berlaku.
Budaya sebegini haruslah dikekalkan namun pada pandangan saya adalah lebih baik sekiranya amalan sebegini tidak diamalkan hanya pada sesuatu perayaan tertentu sahaja. Amalan ini adalah lebih baik sekiranya kita jadikan sebagai satu amalan yang telah sebati dalam diri kita sebagai salah satu akhlak yang terpuji.
Amalan saling memohon maaf dan saling memaafkan merupakan satu amalan yang baik dan wajar dipraktikkan. Setiap manusia haruslah menjadikan amalan ini sebagai satu budaya dalam kehidupan. Janganlah kita bersikap ego dan sombong dan sukar untuk menyatakan maaf seandainya melakukan kesalahan. Di samping memohon maaf, kita juga perlu untuk memaafkan orang lain. Inilah sikap yang dapat dikatakan bersifat saling melengkapi. Banyak kelebihan yang dapat diperoleh daripada amalan ini. Selain dapat mengeratkan silaturahim, bermaafan turut dapat menghindarkan diri daripada sifat-sifat yang tidak baik seperti sakit hati dan dendam di samping dapat memberi ketenangan kepada jiwa kita.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan budaya saling bermaafan dalam kehidupan kita. Bukan hanya pada perayaan tertentu sahaja malah, pada setiap ketika kita melakukan kesalahan baik secara sedar mahupun tidak.
Saya dan seorang rakan bersalaman, memaafkan kesalahan yang telah dilakukan antara satu sama lain. |
No comments:
Post a Comment