Saturday, 27 October 2012

Tanda baca


Pada semester ini, saya telah mengikuti satu kursus bidang sastera iaitu kursus Kajian Manuskrip Bahasa Melayu. Tugasan pertama telah diberikan oleh pensyarah kepada para pelajarnya. Saya dan beberapa ahli kumpulan telah dikehendaki untuk melakukan transliterasi manuskrip Melayu lama yang ditulis dengan menggunakan tulisan jawi kepada tulisan rumi. Di samping melakukan transliterasi, pensyarah juga meminta saya dan ahli kumpulan untuk meletakkan tanda baca pada transliterasi tersebut. 

Ketika saya melakukan tugasan tersebut, saya dapati bahawa manuskrip Melayu lama itu kebanyakannya tidak menggunakan tanda baca. Kami menghadapi kesukaran dalam meletakkan tanda baca kerana manuskrip tersebut menggunakan bahasa Melayu klasik tambahan pula terdapat banyak penggunaan pinjaman daripada bahasa Arab. Jadi, hal ini menambahkan kesukaran kami untuk mengelaskan bahagian-bahagian yang perlu diletakkan tanda baca. Saya juga dapat menilai bahawa sekiranya dalam penulisan bahasa Melayu kini tidak wujud penggunaan tanda baca, sudah pasti tidak wujud bahagian-bahagian yang perlu dihentikan, ditekankan, untuk menimbulkan pertanyaan dan sebagainya. Dapatkah anda bayangkan sekiranya tidak wujud penggunaan tanda baca dalam bahasa Melayu? Sudah pasti sukar untuk kita membacanya, bukan? Jelaslah bahawa tanda baca memainkan peranan penting dalam bahasa Melayu.

Hasil daripada tugasan tersebut, terlintas di hati saya untuk menulis tentang tanda-tanda yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Tanda baca
Fungsi
Titik/Nokhtah (.)
Melengkapkan ayat.
Contoh : Aminah sangat rajin.
Kependekan nama.
Contoh : U.T.M
3.   Selepas setiap nombor senarai tanpa tanda kurung.
      Contoh : 1. Jangan makan di dalam kelas.
4.  Memisahkan ringgit dan sen.
       Contoh : RM 22.50
5.  Menunjukkan tanda perpuluhan.
     Contoh : 99.9 peratus
6.   Tanda berhenti.
      Contoh : Jelaskan.


Koma (,)
1.   Tanda berhenti sekejap dalam penulisan.
      Contoh : Untuk berjaya, seseorang itu perlu gigih berusaha.
2.    Menggantikan kata hubung yang digugurkan.
      Contoh : Beliau mempunyai sikap yang tegas, berani dan adil.
3.    Menunjukkan angka ribu dan juta.
      Contoh : 2100,000
4.    Memisahkan tempat atau bulan daripada tahun.
      Contoh : Dia tinggal di Alor Setar, Kedah.
5.    Menandakan pengguguran sesuatu unsur di dalam ayat.
      Contoh : Ayah suka memancing, ibu pula, berkebun.
6.   Digunakan selepas penanda wacana di permulaan ayat.
      Contoh : Walau bagaimanapun, dia akan terus mencuba.
7.   Memisahkan bahagian yang bertentangan maksudnya dalam satu ayat.
      Contoh : Saya menyuruh kamu buat latihan, bukan buat bising.

Sempang (-)
1.   Menulis kata ganda.
      Contoh : Bukit-bukau
2.    Merangkaikan huruf besar dengan huruf kecil.
      Contoh :  anti-Amerika
3.    Merangkaikan ke dengan angka.
      Contoh : ke-2
4.   Menunjukkan tahun dengan akhiran –an.
      Contoh :Tahun 70-an
5.   Menunjukkan perkataan yang terputus.
      Contoh : Dia terkejut apabila diberitahu bapanya bahawa ibu-
nya pengsan.
Titik bertindih (:)
.     Menyenaraikan sesuatu perkara.
   Contoh : Para peserta diingatkan supaya membawa barang-barang ini: pakaian, lampu picit, tuala, dan sabun.
2.   Memisahkan surah dan ayat.
      Contoh : Surah 6:18
3.   Menandakan masa
      Contoh : Masa terpantas pelari jarak jauh itu ialah 1:04:43
4.   Menulis nisbah.                   
        Contoh : 1:100
Koma bertindih (;)
1.   Sebagai unsur kaitan antara dua ayat.
      Contoh : Di perpustakaan, Aminah membaca surat khabar; rakan-rakannya membuat ulang kaji.
Tanda soal (?)
1.    Digunakan pada akhir ayat tanya.
       Contoh : Awak sudah minum ?
Tanda seru (!)
1.    Digunakan pada akhir ayat seru.
       Contoh : Wah, besarnya rumah awak !
2.  Digunakan pada akhir ayat suruhan, silaan, permintaan dan    larangan yang mengundang unsur perasaan,
      Contoh : Keluar dari kawasan ini!
Tanda petik (“...”)
1.   Menunjukkan cakap ajuk.
      Contoh : Alisa berkata kepada ibunya, “Ibu, Alisa lapar”.
2.   Menonjolkan sesuatu kata atau frasa dalam ayat.
      Contoh : Para remaja suka menggunakan kata “cun”.
3.   Menunjukkan judul atau tajuk sesuatu.
      Contoh : Sajak “Gadis Kecil” ditulis oleh Usman Awang.
4.   Menunjukkan kata pinjaman.
      Contoh : Gambar itu sudah saya “upload” dalam blog.

No comments:

Post a Comment