Saturday, 27 October 2012

Jom Kenali Kata Penguat Adjektif Dalam Dialek Utara


Assalammualaikum.

            Pada cuti bersempena dengan Hari Raya Aidiladha dan juga cuti pertengahan semester pada kali ini tercetus di fikiran saya untuk menulis tentang kata penguat adjektif dalam dialek utara. Sepanjang cuti ini, saya berada di kampung. Ketika berada di sini, saya kerap terdengar dan menggunakan kata penguat adjektif ini sama ada ketika berada di rumah bersama keluarga tercinta dan sanak-saudara mahupun ketika bersama-sama rakan. Bagi masyarakat negeri lain bolehlah  membaca perkongsian ringkas ini sekiranya ingin menambahkan pengetahuan yang telah sedia ada.

            Baiklah, di sini saya sertakan beberapa kata penguat adjektif yang sering digunakan oleh masyarakat dari beberapa negeri sebelah utara Malaysia.

Maneh melecaih/meleting      -      Manis sangat ( Selalunya merujuk kepada minuman )
Contoh ayat : “Sapa yang bancoh ayaq sirap nie ? Maneh melecaih aih !’’
Terjemahan : Siapa yang bancuh air sirap ini ? Sangat manis.

Tawaq hebiaq   -   Sangat tawar ( Merujuk kepada makanan atau minuman )
Contoh ayat : “Kena tambah garam dengan ayaq asam sikit lagi, sambal ni tawaq hebiaq la.”
Terjemahan : Kena tambah garam dan air asam sedikit lagi, sambal ini sangat tawar.

Sejuk gedi      –    Sejuk yang teramat
Contoh ayat : “Mak, ayaq dalam kolah ni sejuk gedi la. Cek takmau mandi lagi.
Terjemahan : Mak, air dalam kolah ini sangat sejuk. Saya tidak mahu mandi lagi.

            Diharapkan dengan perkongsian ringkas ini dapat menambahkan pengetahuan kepada anda semua. Beginilah kata-kata yang digunakan oleh masyarakat dari sebelah utara untuk menyatakan kata penguat adjektifnya. Terdapat lebih banyak lagi kata penguat adjektif ini. Kata penguat adjektif yang telah saya  kongsikan hanya sedikit sahaja dan merupakan kata yang sering saya dengar ketika berada di kampung. Bagi masyarakat yang mengamalkan dialek negeri lain pula, saya pasti anda turut mempunyai kata penguat adjektif yang tersendiri. Jika berkesempatan, saya juga berkeinginan untuk mempelajari dialek dari negeri-negeri lain yang terdapat di Malaysia. Insha-Allah.

            Sebelum saya mengakhiri penulisan entri blog saya ini, sukar untuk saya menyatakan bahawa ini merupakan tajuk blog saya yang terakhir. Diharapkan dengan segala perkongsian daripada saya ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Sekiranya terdapat kesilapan, kritikan yang membina dan komen yang positif adalah sangat diperlukan. Sebelum saya mengundur diri, izinkan saya mengungkapkan serangkap pantun :

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.

Budaya Memohon Maaf dan Memaafkan






Assalammualaikum.

Apa khabar semua ? Diharapkan semua dalam keadaan baik-baik sahaja. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan  Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga dengan kehadiran raya pada kali ini akan memberi lebih keberkatan dan mengukuhkan ikatan ukhuwah antara kita semua.

            Bersempena dengan raya korban pada kali ini, saya dan keluarga telah berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat-handai. Sudah menjadi satu budaya ketika hari raya, kami akan bersalam-salaman dan memohon maaf antara satu sama lain sekiranya terdapat kesalahan yang telah dilakukan antara sedar ataupun tidak ,baik yang telah lama mahupun yang baru sahaja berlaku.



            Budaya sebegini haruslah dikekalkan namun pada pandangan saya adalah lebih baik sekiranya amalan sebegini tidak diamalkan hanya pada sesuatu perayaan tertentu sahaja. Amalan ini adalah lebih baik sekiranya kita jadikan sebagai satu amalan yang telah sebati dalam diri kita sebagai salah satu akhlak yang terpuji.
            Amalan saling memohon maaf dan saling memaafkan merupakan satu amalan yang baik dan wajar dipraktikkan. Setiap manusia haruslah menjadikan amalan ini sebagai satu budaya dalam kehidupan. Janganlah kita bersikap ego dan sombong dan sukar untuk menyatakan maaf seandainya melakukan kesalahan. Di samping memohon maaf, kita juga perlu untuk memaafkan orang lain. Inilah sikap yang dapat dikatakan bersifat saling melengkapi. Banyak kelebihan yang dapat diperoleh daripada amalan ini. Selain dapat mengeratkan silaturahim, bermaafan turut dapat menghindarkan diri daripada sifat-sifat yang tidak baik seperti sakit hati dan dendam di samping dapat memberi ketenangan kepada jiwa kita.

            Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan budaya saling bermaafan dalam kehidupan kita. Bukan hanya pada perayaan tertentu sahaja malah, pada setiap ketika kita melakukan kesalahan baik secara sedar mahupun tidak.



Saya dan seorang rakan bersalaman, memaafkan kesalahan yang telah dilakukan
antara satu sama lain.







Tanda baca


Pada semester ini, saya telah mengikuti satu kursus bidang sastera iaitu kursus Kajian Manuskrip Bahasa Melayu. Tugasan pertama telah diberikan oleh pensyarah kepada para pelajarnya. Saya dan beberapa ahli kumpulan telah dikehendaki untuk melakukan transliterasi manuskrip Melayu lama yang ditulis dengan menggunakan tulisan jawi kepada tulisan rumi. Di samping melakukan transliterasi, pensyarah juga meminta saya dan ahli kumpulan untuk meletakkan tanda baca pada transliterasi tersebut. 

Ketika saya melakukan tugasan tersebut, saya dapati bahawa manuskrip Melayu lama itu kebanyakannya tidak menggunakan tanda baca. Kami menghadapi kesukaran dalam meletakkan tanda baca kerana manuskrip tersebut menggunakan bahasa Melayu klasik tambahan pula terdapat banyak penggunaan pinjaman daripada bahasa Arab. Jadi, hal ini menambahkan kesukaran kami untuk mengelaskan bahagian-bahagian yang perlu diletakkan tanda baca. Saya juga dapat menilai bahawa sekiranya dalam penulisan bahasa Melayu kini tidak wujud penggunaan tanda baca, sudah pasti tidak wujud bahagian-bahagian yang perlu dihentikan, ditekankan, untuk menimbulkan pertanyaan dan sebagainya. Dapatkah anda bayangkan sekiranya tidak wujud penggunaan tanda baca dalam bahasa Melayu? Sudah pasti sukar untuk kita membacanya, bukan? Jelaslah bahawa tanda baca memainkan peranan penting dalam bahasa Melayu.

Hasil daripada tugasan tersebut, terlintas di hati saya untuk menulis tentang tanda-tanda yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Tanda baca
Fungsi
Titik/Nokhtah (.)
Melengkapkan ayat.
Contoh : Aminah sangat rajin.
Kependekan nama.
Contoh : U.T.M
3.   Selepas setiap nombor senarai tanpa tanda kurung.
      Contoh : 1. Jangan makan di dalam kelas.
4.  Memisahkan ringgit dan sen.
       Contoh : RM 22.50
5.  Menunjukkan tanda perpuluhan.
     Contoh : 99.9 peratus
6.   Tanda berhenti.
      Contoh : Jelaskan.


Koma (,)
1.   Tanda berhenti sekejap dalam penulisan.
      Contoh : Untuk berjaya, seseorang itu perlu gigih berusaha.
2.    Menggantikan kata hubung yang digugurkan.
      Contoh : Beliau mempunyai sikap yang tegas, berani dan adil.
3.    Menunjukkan angka ribu dan juta.
      Contoh : 2100,000
4.    Memisahkan tempat atau bulan daripada tahun.
      Contoh : Dia tinggal di Alor Setar, Kedah.
5.    Menandakan pengguguran sesuatu unsur di dalam ayat.
      Contoh : Ayah suka memancing, ibu pula, berkebun.
6.   Digunakan selepas penanda wacana di permulaan ayat.
      Contoh : Walau bagaimanapun, dia akan terus mencuba.
7.   Memisahkan bahagian yang bertentangan maksudnya dalam satu ayat.
      Contoh : Saya menyuruh kamu buat latihan, bukan buat bising.

Sempang (-)
1.   Menulis kata ganda.
      Contoh : Bukit-bukau
2.    Merangkaikan huruf besar dengan huruf kecil.
      Contoh :  anti-Amerika
3.    Merangkaikan ke dengan angka.
      Contoh : ke-2
4.   Menunjukkan tahun dengan akhiran –an.
      Contoh :Tahun 70-an
5.   Menunjukkan perkataan yang terputus.
      Contoh : Dia terkejut apabila diberitahu bapanya bahawa ibu-
nya pengsan.
Titik bertindih (:)
.     Menyenaraikan sesuatu perkara.
   Contoh : Para peserta diingatkan supaya membawa barang-barang ini: pakaian, lampu picit, tuala, dan sabun.
2.   Memisahkan surah dan ayat.
      Contoh : Surah 6:18
3.   Menandakan masa
      Contoh : Masa terpantas pelari jarak jauh itu ialah 1:04:43
4.   Menulis nisbah.                   
        Contoh : 1:100
Koma bertindih (;)
1.   Sebagai unsur kaitan antara dua ayat.
      Contoh : Di perpustakaan, Aminah membaca surat khabar; rakan-rakannya membuat ulang kaji.
Tanda soal (?)
1.    Digunakan pada akhir ayat tanya.
       Contoh : Awak sudah minum ?
Tanda seru (!)
1.    Digunakan pada akhir ayat seru.
       Contoh : Wah, besarnya rumah awak !
2.  Digunakan pada akhir ayat suruhan, silaan, permintaan dan    larangan yang mengundang unsur perasaan,
      Contoh : Keluar dari kawasan ini!
Tanda petik (“...”)
1.   Menunjukkan cakap ajuk.
      Contoh : Alisa berkata kepada ibunya, “Ibu, Alisa lapar”.
2.   Menonjolkan sesuatu kata atau frasa dalam ayat.
      Contoh : Para remaja suka menggunakan kata “cun”.
3.   Menunjukkan judul atau tajuk sesuatu.
      Contoh : Sajak “Gadis Kecil” ditulis oleh Usman Awang.
4.   Menunjukkan kata pinjaman.
      Contoh : Gambar itu sudah saya “upload” dalam blog.

Sedapnyaaaaa Budu ...


Budu, makanan nombor 1 di Kelantan.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

            Tajuk yang saya ingin kongsikan pada kali ini ialah tentang makanan yang sangat digemari oleh masyarakat di negeri Kelantan iaitu budu. Saya juga mula menggemari makanan ini apabila saya berada di semester satu di universiti semenjak berkenalan dengan seorang rakan serumah yang berasal dari Kelantan. Dialah yang telah mula-mula memperkenalkan makanan ini kepada saya dan saya mula menggemarinya. Budu merupakan makanan yang sangat popular di Kelantan. Makanan ini telah menjadi satu identiti di negeri tersebut.

Budu atau sos ikan bilis ialah sejenis pekasam yang dibuat menggunakan ikan bilis.  Budu merupakan makanan tradisional yang terkenal di Malaysia dan dipasarkan di Kelantan, Terengganu dan Selatan Thailand.  Budu diproses daripada ikan bilis yang diperam sehingga hancur. Budu biasanya dihasilkan oleh syarikat-syarikat perusahaan kecil dan dijual di kedai dalam pembungkusan botol.  Bahan yang diperlukan untuk menghasilkan budu ini ialah dengan menggunakan ikan bilis, asam jawa, air dan garam. Budu ini dimakan bersama-sama dengan sedikit perahan limau nipis, cili dan hirisan bawang merah. Budu ini sangat enak apabila dimakan bersama ikan bakar mahupun dicicah bersama ulam-ulaman.

Sebelum ini, saya beranggapan bahawa budu ini tidak mempunyai sebarang khasiat. Kemudian, rakan saya itu memberitahu bahawa terdapat banyak khasiat yang dapat diperoleh daripada makanan ini. Antara khasiat tersebut ialah budu dapat mencantikkan kulit dan menurunkan kolesterol dalam badan.

Masyarakat Kelantan sinonim dengan budu. Masyarakat  Pahang dan Perak pula popular dengan tempoyak dan cencaluk pula popular di Melaka. Walaupun makanan ini popular di negeri-negeri tersebut namun turut mendapat tempat di hati masyarakat dari negeri lain di Malaysia. Walaupun budu ini merupakan makanan asal dari negeri Kelantan namun, turut digemari oleh masyarakat dari negeri lain. Begitulah kayanya Malaysia dengan kepelbagaian makanannya.

Pada setiap cuti semester, saya mesti berpesan kepada rakan saya itu supaya membeli budu untuk dimakan bersama-sama di rumah sewa apabila bermulanya semester baru nanti. 



Tuesday, 23 October 2012

Kekeliruan Dalam Penggunaan Ia



            Saya perhatikan bahawa masih ramai yang keliru dengan penggunaan ia. Dari zaman persekolahan sehinggalah ke zaman universiti kekeliruan ini masih membelengu fikiran. Pada pemerhatian saya, kekeliruan ini timbul antara penggunaan ia ini merujuk kepada benda ataupun khusus kepada manusia. Pada entri kali ini, terlintas di benak fikiran untuk meleraikan kekeliruan ini. Jadi, saya telah membuat beberapa rujukan bagi mencari maklumat.

Menurut Awang Sariyan melalui artikelnya pada halaman 366 buku Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia (DBP:1987), beliau menegaskan bahawa bahasa Malaysia (bahasa Melayu) tidak mengenali kata ganti untuk selain manusia, kecuali dalam dongeng binatang. Malahan, penggunaan kata ganti diri untuk benda, binatang atau konsep bertentangan dengan nilai sosiobudaya Melayu. Menurut Awang Sariyan dalam artikelnya itu, Asraf juga tidak bersetuju dengan penggunaan ia untuk bukan manusia. Bagi Asraf, perkataan itu sengaja dipadankan daripada bahasa Inggeris, it, oleh pihak yang tertentu yang kononnya untuk mengelakkan kekaburan makna dan pengulangan kata nama yang menyebabkan bahasa menjadi tidak ekonomis. Menurutnya, ia untuk bukan manusia boleh dianggap bentuk palsu yang mencemarkan bahasa Melayu.

Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (DBP: 1995) turut menegaskan bahawa kata ganti nama diri adalah untuk menggantikan diri orang. Oleh itu, perkataan-perkataan tersebut tidak sesuai digunakan untuk bukan orang, sama ada untuk benda, haiwan, atau konsep. Demikian juga halnya Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir (Edisi Baru) (DBP:1986) pada halaman 82 dengan jelas menyatakan, "...kata ia sekarang adalah kata lain untuk dia.". Ini bermakna kedua-duanya tidak berbeza dari segi maksud dan fungsinya.

Kesimpulannya, kata ia hanyalah digunakan bagi merujuk kepada manusia sahaja. Sekiranya kita ingin merujuk kata ganti selain manusia misalnya untuk benda ataupun binatang, kita hendaklah mengulangi perkataan tersebut. Contoh :

                   Burung-burung itu bertebangan. Ia pulang ke sarang (Salah)
                   Burung-burung itu bertebangan. Burung-burung pulang ke sarang. (Betul)

            Diharapkan dengan perkongsian ringkas saya ini dapat merungkai kekeliruan kita semua. Sekian, terima kasih.

Friday, 19 October 2012

Kurangkan Kelajuan



Ketika saya mencatatkan idea untuk entri blog pada kali ini, saya sedang berada dalam perjalanan untuk pergi ke stesen bas Tanjong Malim. Tujuan saya ke sana adalah untuk membeli tiket bas untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti raya haji pada minggu hadapan. Semasa perjalanan untuk menuju ke stesen bas tersebut, saya terlihat satu papan tanda yang bertulis “Kurangkan Laju”. Terlintas di benak fikiran saya bahawa seperti ada sesuatu kesalahan yang terdapat pada perkataan di papan tanda tersebut.

Sepanjang perjalanan itu, otak saya ligat berfikir tentang sama ada perkataan yang digunakan pada papan tanda tersebut mengandungi kesalahan ataupun tidak. Setelah tiba di rumah, saya terus  memikirkan tentang ayat yang tertulis di papan tanda itu tadi iaitu “Kurangkan Laju” dan memang benarlah telahan saya bahawa terdapat kesalahan pada ayat tersebut. Pada pendapat saya, terdapat kesalahan bahasa dalam perkataan di atas. Perkataan ‘kurangkan’ haruslah diikuti oleh kata nama terbitan ‘kelajuan’ bukannya kata sifat ‘laju’.


Kata Majmuk


         Pada hari ini, saya telah mendapat satu mesej daripada rakan sekuliah yang mengatakan bahawa kelas pada pagi ini batal kerana pensyarah mempunyai urusan di luar. Jadi, setelah bangun untuk membersihkan diri dan mengerjakan solat subuh, saya tidak menyambung tidur semula. Niat di hati ingin mencari sedikit maklumat di internet untuk menyiapkan tugasan. Saya menghidupkan komputer riba saya dan mencari maklumat-maklumat yang berkaitan. Setelah mendapat sedikit maklumat yang dicari, saya melayari pula beberapa blog dan akaun Facebook bagi mengetahui perkembangan semasa. Semasa berada di halaman utama Facebook tersebut, saya telah dipaparkan dengan satu status yang baru sahaja dikemaskini oleh salah seorang daripada rakan Facebook saya.





      Berdasarkan pemerhatian saya, salah satu daripada perkataan tersebut telah menyalahi hukum tatabahasa Melayu iaitu rumahtangga. Kesalahan tersebut ialah dua perkataan yang sepatutnya dieja secara terpisah tetapi dicamtumkan menjadi satu perkataan. Kesalahan ini merupakan kesalahan dari bentuk kata majmuk yang belum mantap.


        Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, rumah tangga ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan dengan unsur lain seperti ‘yang’. Jadi, rumah rumah tangga perlulah dieja secara terpisah antara dua kata dasar tersebut dan bukannya ditulis sebagai rumahtangga. Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan.


                        Contoh : Setiausaha, beritahu, kakitangan, matahari

Kebetulan pada hari yang sama saya turut menemui perkataan yang sepatutnya dieja secara terpisah tetapi dicantumkan iaitu perkataan semulajadi yang terdapat pada kotak minuman jenama Dutchlady.



     Kesimpulannya, rumah tangga dan semula jadi merupakan kata majmuk tetapi perlu dieja secara terpisah kerana penggunaannya tidak dianggap sebagai satu perkataan kata majmuk yang mantap.