Sunday, 30 September 2012

Bahasa ‘Kanak-kanak Facebook’

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dengan izin dan rahmat-Nya , saya masih bernafas dan dapat meneruskan dalam penulisan entri blog saya yang ketiga ini. Alhamdulillah.
Pada zaman kepesatan teknologi kini, kebanyakan masyarakat dunia masing-masing telah mempunyai laman sosial peribadi mereka sendiri seperti Facebook, Twitter , Skype dan sebagainya. Sudah menjadi kelaziman bagi diri kita dalam melayari laman sosial ini. Misalnya, diri saya sendiri tidak dapat lari daripada melayari akaun peribadi saya sendiri iaitu Facebook. Sekiranya tidak dapat melayari laman sosial ini dalam sehari, jiwa berasa gelisah. Hati meronta-ronta untuk pergi ke cyber cafe atau mana-mana kawasan yang menyediakan perkhidmatan wifi semata-mata untuk melayari laman ini. Begitu kuatnya penangan Facebook dalam kehidupan saya.
Namun, itu bukanlah fokus utama yang ingin saya ketengahkan pada entri kali ini. Baiklah, pada entri blog saya yang ketiga ini, saya ingin bercerita tentang masalah bahasa ‘Kanak-kanak Facebook’. Walaupun umur sudah menginjak kepada belasan dan puluhan tahun, golongan ini masih menggunakan bahasa yang hanya layak digunakan oleh kanak-kanak sahaja. Malahan, pada pemerhatian saya, penggunaan bahasa kanak-kanak dalam kalangan golongan jenis ini semakin menular terutamanya dalam penggunaan bahasa ringkas dalam laman sosial. Di sini saya fokuskan kepada laman sosial yang popular pada masa kini iaitu Facebook.  Jadi, sebagai insan yang bertanggungjawab, kita haruslah bersama-sama dalam menggembleng tenaga bagi menghapuskan golongan ini.
Berikut merupakan contoh yang pernah saya terbaca di Facebook tentang bahasa ‘kanak-kanak’ yang telah digunakan oleh golongan ini.
Contoh 1 : ‘’ittew ta shukeww larhh !”
Contoh 2 : “ittew cume na tawu awk marah kat ittew kew ?”
Tidak pasti sama ada golongan ini mempunyai masalah dalam berbahasa ataupun tidak mengetahui sistem penggunaan ejaan yang betul. Mungkin golongan ini merasakan bahawa penggunaan bahasa yang mereka gunakan ini menarik dan menyifatkannya sebagai kreatif ataupun mungkin juga mereka menyifatkan bahasa tersebut sebagai bahasa yang manja. Tapi saya rasakan tidak sama sekali. Penggunaan bahasa jenis ini hanya akan merosakkan bahasa kita.

No comments:

Post a Comment