Sunday, 30 September 2012

Dunia Bahasa SMS

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
                Selamat datang ke blog saya ini. Alhamdulillah berkat usaha dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan, kini saya telah semakin mahir dalam menulis blog . Syukur.
                Pada entri blog saya yang pertama, saya telah berkongsi tentang kepelbagaian dialek antara saya dan rakan-rakan. Pada entri blog saya yang kedua ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang penggunaan bahasa SMS pada masa kini.
                Semakin jelas, penggunaan bahasa SMS pada masa kini sudah tidak terasing dalam kalangan masyarakat. Malahan, penggunaan bahasa SMS boleh dikatakan sudah menjadi trend dalam diri pengguna teknologi telekomunikasi seperti telefon bimbit ataupun perkhidmatan sistem komunikasi yang lain. Saya juga tidak terkecuali dalam penggunaan bahasa SMS ini.
                Kita telah sedia maklum bahawa penggunaan bahasa SMS ini adalah bertujuan untuk memudahkan serta mempercepatkan dalam sesuatu proses penyampaian mesej kepada pihak lain.  Kita tidak perlu menulis atau menaip ejaan yang penuh bagi setiap patah perkataan. Namun, penggunaan bahasa SMS pada masa kini pada hemat saya sudah terkeluar dari landasan yang wajar sehinggakan penggunaan singkatan bagi perkataan tersebut sukar untuk difahami. Jadi, hal ini mungkin akan menyebabkan kesukaran dalam membaca mesej tersebut dan mungkin juga akan tersalah tafsir dalam memahami maksud sebenar mesej yang ingin disampaikan oleh mereka. Penggunaan bahasa SMS yang tidak sepatutnya ini telah menyebabkan bahasa kita semakin hilang identitinya yang tersendiri.
                Memang kita tidak dapat menafikan bahawa diri kita sendiri kebanyakannya menggunakan bahasa SMS ini walaupun penggunaannya tidak digalakkan dan akan merosakkan bahasa. Namun, untuk memudahkan diri kita sendiri dalam kehidupan seharian, penggunaan bahasa ini boleh diteruskan untuk penggunaan yang tidak formal  dan haruslah dalam konteks penggunaan singkatan yang masih wajar. Maksud saya di sini, kita mestilah menggunakan bahasa SMS yang masih bercirikan sistem ejaan yang betul yang beridentitikan bahasa yang sebenar dan bukanlah bahasa SMS yang langsung tidak dapat difahami.
                Saya juga pernah pada suatu ketika dahulu mempunyai pengalaman dalam menerima bahasa SMS yang langsung tidak dapat difahami. Jadi, saya telah membuat andaian mengikut kefahaman saya sendiri. Tidak pasti sama ada maksud sebenar si penyampai sama dengan apa yang telah saya fahami. Jadi, penggunaan bahasa SMS ini lebih banyak kontra daripada kebaikannya.

No comments:

Post a Comment