Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia.
Hai
pembaca-pembaca semua. Apa khabar ? Saya harapkan semuanya sihat-sihat sahaja.
Sudah banyak saya bercerita tentang bahasa kan ? Jadi, pada entri kali ini,
saya ingin menukar topik sedikit iaitu yang masih lagi dalam konteks pengalaman
saya tetapi lebih kepada budaya masyarakat kita ini.
Saya pasti
rakan-rakan semua mesti pernah senyum kan ? Tidak susah bukan hendak senyum ?
Tetapi saya masih berasa hairan kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang
masih bersikap ego dan sombong yang susah hendak memberikan senyuman mahupun
membalas senyuman daripada orang lain. Bukankah banyak manfaat yang dapat kita
peroleh daripada senyuman contohnya seperti mengeratkan hubungan, menambah
kenalan, dan juga dapat merenggangkan otot-otot di wajah kita. Dalam agama kita
juga telah mengatakan bahawa senyuman itu adalah sedekah. Jadi, tidak ada
ruginya sekiranya kita memaniskan muka kita dengan memberikan senyuman. Di samping itu, dengan senyuman juga kita
dapat berkomunikasi dengan orang lain. Kita dapat mengkategorikan senyuman ini
sebagai bahasa badan. Jadi, sekiranya kita bertembung dengan orang yang rapat
mahupun yang tidak rapat dengan kita, dalam jarak dekat mahupun jauh, dengan
memberikan senyuman sudah menjadi simbol bahawa kita telah bertegur sapa dengan
mereka.
Bagi saya ,
bukanlah bererti orang yang susah hendak senyum itu adalah orang yang sombong.
Mungkin sebaliknya juga sekiranya kita betul-betul mengenali orang tersebut.
Saya pernah mendengar luahan hati seorang rakan saya yang pernah dianggap sebagai seorang yang sombong.
Rakan-rakan lain menganggap sedemikian kerana dia sukar untuk membalas senyuman
daripada mereka. Rakan saya itu pernah berkata kepada saya bahawa dia
sebenarnya bukanlah tidak mahu membalas senyuman daripada mereka, tetapi dia
menghadapi sedikit masalah dalam penglihatan iaitu mengalami penyakit rabun.
Jadi, dia sebenarnya tidak dapat mengesan dengan jelas orang yang telah
memberikan senyuman kepadanya.
Walau
bagaimanapun, sememangnya budaya memberikan senyuman ini haruslah dipupuk dalam
diri kita. Dengan memberikan senyuman, pasti hidup kita akan ceria. Janganlah
kita bersikap sombong dan enggan memberikan senyuman kepada orang lain.
Percayalah, dengan memberikan senyuman, hidup kita pasti akan ceria dan
seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.
No comments:
Post a Comment