Sunday, 30 September 2012

Perumpamaan Melayu




Assalammualaikum dan salam sejahtera.

            Pada entri blog kali ini, saya ingin berkongsi tentang perumpamaan masyarakat Melayu. Idea ini tercetus apabila saya terbaca satu blog yang telah memcatatkan entri tentang tajuk ini. Jadi, tajuk ini telah menarik perhatian saya untuk berkongsi dengan anda semua tentang perumpamaan Melayu yang telah diubahsuaikan oleh masyarakat kini.
Simpulan bahasa atau perumpamaan merupakan hasil ciptaan nenek moyang kita yang terdahulu yang masih digunakan sehingga kini. Salah satu peranannya adalah sebagai bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu. Hal ini menggambarkan bahawa bahasa masyarakat Melayu pada zaman dahulu penuh dengan adab sopan santunnya. Namun, pada pemerhatian saya, warisan bangsa Melayu ini semakin hilang nilai jati dirinya. Perumpamaan ini telah diubahsuai dan dijadikan sebagai bahan hiburan yang berunsurkan jenaka.
Berikut saya kongsikan perumpamaan yang betul yang telah diubahsuai yang pernah saya baca dan dengar. Sama-sama kita perhatikan.

1.      Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
-          Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kereta pun boleh diundur, terlajak  kapal terbang takde gear reverse, sori.
   
2.      Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
-          Bersatu kita teguh, bercerai kita kahwin lain.

3.      Sudah jatuh ditimpa tangga.
-          Sudah jatuh ditimpa pula tangga, lepas tu tercium pulak tahi ayam.

4.      Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
-          Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal ketiak.

5.      Alang-alang mandi biar sampai basah.
-          Alang-alang mandi biar guna sabun dan syampu.

6.      Biar putih tulang jangan putih mata.
-          Biar putih tulang jangan kuning gigi.

7.      Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-lenang kemudian.
-          Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, lama-lama jadi letih.

8.      Biar lambat asalkan selamat.
-          Biar lambat asalkan perlahan.

Pada pendapat saya, apabila perumpamaan ini diubahsuai, nilai warisan masyarakat Melayu itu sendiri akan hilang. Nilai jati diri warisan bangsa Melayu itu sendiri yang kaya dengan tatasusila dan bahasa santunnya akan luntur. Hal ini juga telah menggambarkan bahawa bahasa Melayu kita ini terlalu mudah untuk diperkotak-katikkan. Selain itu, perumpamaan sebegini sekiranya digunakan secara terus-terusan dikhuatiri akan menjadi ikutan kepada generasi seterusnya dan akan hilanglah warisan bangsa Melayu itu sendiri. 



No comments:

Post a Comment